Program i-Sinar benar pencarum keluar Akaun 1

Sumber foto odisi.my/blog

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum yang kehilangan sumber pendapatan mengeluarkan wang dari akaun satu sehingga RM60,000 menerusi program i-Sinar.

Langkah berkenaan dibuat bagi memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

i-Sinar juga merupakan program kesinambungan kepada program i-Lestari (pengeluaran simpanan Akaun 2) yang dilancarkan KWSP pada Mac lalu.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, i-Sinar akan memberi manfaat kepada dua juta ahli dengan anggaran sebanyak RM14 bilion kepada pencarum yang layak memohon.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam akaun satu, tertakluk kepada baki minimum RM100.

“Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam akaun satu, akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000.

“Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

“Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam akaun satu, akan mempunyai akses 10 peratus.

“Bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kata Tunku Alizakri permohonan boleh dibuat mulai Disember depan dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat. – HARAKAHDAILY 17/11/2020