PKP bukan punca hasil sawit merosot

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemerosotan hasil buah tandan segar (BTS) dan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) pada suku pertama tahun ini bukan berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, punca kemerosotan akibat fenomena banjir di kebanyakan kawasan berikutan musim Monsun Timur Laut.

- Advertisement -

Selain itu, kesan daripada tren penurunan yang biasanya berlaku dari bulan November hingga Mac tahun berikutnya.

“Purata hasil BTS Sabah sebulan bagi suku tahun pertama 2020 (Januari hingga Mac) adalah sebanyak 1.17 tan sehektar sebulan, berbanding dengan 1.6 tan sehektar sebulan bagi tempoh yang sama tahun 2019, iaitu penurunan sebanyak 26.9 peratus.

“Sementara purata sebulan pengeluaran CPO Sabah pula jatuh sebanyak 29.1 peratus kepada 319,836 tan sebulan berbanding dengan 450,823 tan sebulan pada suku pertama tahun 2019,” katanya ketika sesi pertanyaan jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Yamani Hafez Musa [BERSATU-Sipitang] mengenai sejauh mana kesan terhadap peladang dan pengilang sawit, terutama di Sabah akibat sekatan atau larangan beroperasi ketika tempoh PKP awal tahun ini.

Bagaimanapun, Jeck Seng berkata bagi suku kedua tahun ini (April hingga Jun) dan ketiga (Julai hingga September), purata hasil BTS Sabah telah meningkat kepada 1.54 tan sehektar sebulan dan 1.5 tan sehektar sebulan, iaitu peningkatan sebanyak 11.6 peratus dan 7.4 peratus berbanding dengan pencapaian bulanan pada suku kedua dan ketiga tahun 2019.

Sementara itu, katanya pengeluaran CPO Sabah juga turut mencatatkan peningkatan pada suku kedua dan ketiga tahun ini berbanding dengan tempoh yang sama pada 2019.

“Pada suku kedua tahun 2020, purata pengeluaran sebulan CPO Sabah direkodkan sebanyak 433,380 tan, meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding dengan 397,594 tan sebulan pada tempoh yang sama tahun 2019.

“Manakala, pada suku tahun ketiga 2020 pula, purata pengeluaran sebulan CPO Sabah adalah sebanyak 411,418 tan atau 1.3 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan 406,171 tan yang dihasilkan pada pada tempoh yang sama tahun 2019,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -