Pencarum lega keputusan KWSP

Kerajaan PN peduli rakyat - Mohd Nasir

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyambut baik langkah positif kerajaan Perikatan Nasional (PN), bagi membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun satu menerusi program i-Lestari dan i-Sinar.

Ketuanya, Mohd Nasir Abdul Razak berkata, keputusan pencarum KWSP boleh mengeluarkan simpanan sehingga maksimum RM60,000 cukup melegakan rakyat.

- Advertisement -

Menurutnya, inisiatif program i-Sinar itu membolehkan dua juta pencarum KWSP mendapat suntikan baharu bagi meneruskan hari mendatang.

“Hasrat kita (Pemuda) bersama supaya KWSP akaun satu dapat dikeluarkan di saat-saat genting ini dipenuhi oleh kerajaan akhirnya tertunai. Keputusan yang sukar akhirnya dibuat demi rakyat Malaysia.

“Tahniah kepada kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyyidin Yassin dan ahli kabinet kerajaan kerana membuat keputusan penting dalam keadaan terbaik.

“Tuntutan yang dibuat hanya RM10,000 sahaja tetapi keputusan yang keluar malah hingga maksimum RM60,000 bagi yang mempunyai caruman melebihi RM90,000 dan ke atas dalam akaun satu,” jelasnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, katanya keputusan yang menggembirakan itu bukan bermakna wang yang berjaya dikeluarkan nanti perlu dihabiskan dalam tempoh yang singkat tanpa tujuan penting.

“Nasihat kami daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu supaya berbelanjalah secara berhemah demi hari-hari yang mendatang.

“Situasi akan datang yang kita tidak dapat ramalkan secara tepat, sama ada pandemik Covid-19 akan hilang atau tidak dengan vaksin yang ditemui.

“Kita (manusia) hanya mampu berdoa kepada Allah SWT, supaya wabak pandemik yang merbahaya ini diangkat dari negara kita, Insya Allah,” ujarnya.

Menurutnya, keputusan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan akaun satu bukti kerajaan PN peduli rakyat.

Sebelum ini, menerusi pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melalui program i-Lestari, kerajaan hanya membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan wang simpanan daripada akaun dua sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan dengan jumlah RM6,000 setahun. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -