PAS Setiawangsa serah RM22k dana Bangunan BPPWP

KUALA LUMPUR:Persuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya melahirkan rasa syukur atas sumbangan dana sebanyak RM 22,000 oleh PAS Setiawangsa dalam usaha memiliki sebuah premis untuk kelancaran gerak kerja Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP).

Menurut beliau, meskipun usaha mengumpul dana agak terbatas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan, namun kerja-kerja pencarian dana untuk premis yang akan melancarkan lagi kerja dakwah dan kebajikan di Wilayah Persekutuan ini tetap dapat diteruskan.

Advertisement

Penyerahan cek bernilai RM 22,000 tersebut diserahkan oleh Yang Dipertua PAS Setiawangsa, Abd Halim Hassan dalam ziarah kasih antara Jawatankuasa BPPWP dan Pimpinan PAS Kawasan Setiawangsa, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS WP 1, Arbiter Kamisan Suja’, Pengerusi Dana BPPWP, Abu Bakar Abd Rahman, Yang Dipertua PAS Setiawangsa, Abd Halim Hassan dan Bendahari PAS Setiawangsa, Abd Kadir Yahya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, sasaran pencarian dana untuk pemilikan premis tersebut adalah RM 40,000 bagi setiap kawasan dan beliau berharap agar sasaran tersebut dapat disempurnakan untuk kelancaran gerak kerja akan datang.

“Ziarah kasih antara Jawatankuasa BPPWP dengan Pimpinan PAS kawasan ini akan diteruskan lagi ke kawasan-kawasan lain bagi memastikan gerak kerja PAS di setiap kawasan sentiasa dalam keadaan yang baik sekaligus menatijahkan manfaat yang luas buat masyarakat setempat”, tambah beliau. – HARAKAHDAILY 17/11/2020