Ditahan main mercun, lawan polis

SERDANG: Polis menahan lapan individu yang disyaki terlibat dalam video tular memaparkan aktiviti membakar mercun secara terbuka di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata suspek berusia lingkungan 27 hingga 53 tahun itu ditahan pada 8:30 malam kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memiliki bahan letupan secara tidak sah.

Beliau berkata ketika kejadian, hampir 80 orang menyaksikan aktiviti itu dan telah diberikan amaran oleh anggota bertugas untuk menghentikan perbuatan tersebut tetapi tidak diendahkan. 

Advertisement

“Kumpulan lelaki tersebut bertindak membakar mercun dengan sengaja berdekatan kenderaan anggota bertugas dan mengejek anggota bertugas.

“Tindakan itu menyebabkan anggota bertugas terperangkap dalam kepungan lorong hampir 30 minit sebelum berjaya meredakan keadaan. Tiada tindakan diambil kerana dibimbangi berlaku kekecohan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini.
 
Razali berkata permohonan reman telah dibuat dan pertuduhan akan dikenakan terhadap mereka yang didapati terlibat dalam insiden itu. 

“Antara barangan yang dirampas ialah baju yang digunakan, dua kotak mercun papan berukuran lapan kaki, sepasang selipar, beg sandang dan sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk merakam video pada malam itu,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Semalam tular rakaman video di media sosial yang memaparkan beberapa individu membakar mercun dan mereka juga disyaki menghalang polis melakukan pemeriksaan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. – BERNAMA