Dari Muslim Pro ke Swarm Drone

Keperluan tentera US kepada data lokasi

HEBOH hari ini berkenaan aplikasi peringatan solat Muslim Pro. Pembangun apps berkenaan didakwa telah menjual data lokasi pengguna kepada tentera US.

Perkara ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Inilah corak bisnes zaman moden. Kadang-kadang kita pelik, macam mana syarikat seperti Google, Facebook, Instagram, WhatsApp dan aplikasi-aplikasi percuma ini menjana pendapatan sedangkan pengguna tidak bayar sesen pun.

Jawapan mudahnya, jual data pengguna! Dengan kita daftar sebagai pengguna, kita perlu bersetuju dengan segala terma dan syarat aplikasi sebelumnya. Termasuklah mengakses maklumat lokasi, fail, kamera dan perakam audio. 

Advertisement

Data-data ini sangat penting untuk tujuan perniagaan (business intelligence). Data-data inilah yang akan diproses dengan kemahiran big data bagi memahami trend manusia seterusnya menjangkakan kehendak pasaran. 

Namun, data-data ini lebih penting untuk tujuan ketenteraan. Tentera US sudah terkenal sebagai pembeli tegar data-data peribadi pengguna apps yang pelbagai untuk tujuan ketenteraan mereka. U.S. Special Operations Command (USSOCOM), sebuah pusat operasi bawah tentera US yang berperanan menangani isu pengganas, pemberontak dan pengintipan antara agensi yang menjalankan urusniaga beli data ini.

Perkara ini telah membuka industri baru dalam pasaran IT. Banyak syarikat-syarikat yang ditubuhkan bagi mencipta aplikasi, khusus bagi tujuan menjual data pengguna kepada tentera US. Bahkan ramai berkhidmat sebagai kontraktor untuk mencari data-data kepada tentera US.

Bagaimana tentera US menggunakan data ini? Banyak kegunaannya. Selain membaca demografi, kehidupan sosial dan rutin seharian manusia, perkara paling dibimbangi adalah kemajuan ketenteraan US (dan Israel) hari ini; drone.

Pada kita Obama sebagai Presiden, walaupun ramai melihat beliau baik kerana tidak menghantar tentera berperang seperti Bush, tetapi zaman beliaulah US paling banyak menggunakan drone. 2 penggal menjadi Presiden, beliau telah melancarkan 563 serangan udara di Pakistan, Somalia dan Yaman hampir kesemuanya menggunakan drone, berbanding 57 sahaja zaman Bush.

Ketika Trump mengganti Obama, operasi ketenteraan US lumpuh kerana Trump lebih fokus kepada ekonomi. Beliau tidak sanggup berbelanja besar untuk tentera. Bahkan terbuka menyatakan ‘we are not policeman of the world’. Namun begitu, masih ramai birokrat di White House, Pentagon, CIA dan US Military yang tidak sehaluan dengan Trump (deep state).

Joe Biden adalah Naib Presiden US zaman Obama. Beliau juga Pengerusi Hal Ehwal Luar Negara JK Senat zaman Bush yang menyokong serangan Iraq dan Afghanistan. Beliau masih berpengaruh di kalangan deep state. Maka berita sebegini bukanlah sesuatu yang pelik.

Drone merupakan pesawat tanpa pemandu yang dikawal secara jarak jauh. Dengan perkembangan teknologi ketenteraan hari ini, drone mampu terbang sendiri tanpa perlu dikawal lagi. Cuma setkan lokasi serangan, ia akan bergerak sendiri ke arahnya seperti autonomous car.

US di bawah program drone mereka sedang giat membangunkan teknologi drone kawanan (swarm drone). Dronesebesar seekor lebah dan menyerang secara dalam kawanan seperti lebah mampu membawa bahan letupan yang membunuh. Bahkan majalah Forbes mengandaikan, ia mungkin bakal menjadi salah satu senjata pemusnah besar (weapon of mass destruction) seperti nuklear, bom Fosforus dan sebagainya.

Dalam teknologi drone, lokasi sasaran merupakan perkara terpenting yang perlu dimiliki. Oleh sebab itulah mereka sanggup berbelanja besar hanya bagi mengumpul data lokasi.

Adakah kita merasa takut sekarang? Inilah hakikat yang perlu kita terima. Bahkan banyak lagi perkara berkait teknologi yang mengancam privasi dan keselamatan kita sebagai pengguna.

Namun posting ini bukanlah untuk menakutkan. Cuma perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan kemajuan yang ada. Jangan benarkan peranti kita diakses sewenang-wenangnya. Jangan terlalu percaya dengan undang-undang melindungi data peribadi kerana bila keadaan huru-hara, undang-undang sudah tidak dipedulikan.

Banyak lagi perkongsian saya mengenai kebejatan teknologi moden dalam buku Di Bawah Naungan al-Kahfi: Persiapan Tentera al-Mahdi. Baca tajuk-tajuk seperti Artificial Intelligence vs Authentic Intelligence, Dari Petrodollar ke Matawang Crypto, Big Data dan IoT Musuh Kerahsiaan, Teknologi Barat Cuba Lawan Teori Kiamat, Fikrah Perjuangan al-Mahdi & Keselamatan Siber, Bentuk Mukabumi dan Koordinasi Peta serta banyak lagi.

Tiada jalan lain untuk mengelakkan maklumat kita dimanipulasi selain daripada kita membina sendiri teknologi umat Islam. Selagi Buy Muslim First (BMF) hanya tertumpu ke arah produk-produk makanan dan keperluan rumah, selagi itu kita terpaksa bergantung dengan teknologi musuh.

Semoga kita sentiasa dilindungi oleh Allah.

ALANG IBN SHUKRIMUN
2 Rabiul Akhir 1442
17 November 2020 – HARAKAHDAILY 17/11/2020