Cabar Jawi ditolak, ADUN DAP diminta akur

- Advertisement -

TEMERLOH: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak tindakan ADUN Tras, Chow Yu Hui dalam isu mencabar penggunaan tulisan Jawi perlu menjadi pengajaran kepada DAP terhadap sikap rasis mereka.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Pahang, Yusma Yusuf berkata, tindakan ADUN tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah mengundang sikap perselisihan lantaran rasa tidak hormat kepada identiti negara ini.

Menurutnya, sehingga ini di seluruh negara semua kes yang mempertikaikan kedudukan dan pelaksanaan tulisan Jawi di mahkamah berakhir dengan kegagalan, sekali gus menuntut keakuran pihak pencabarnya.

“Cukuplah, berhentilah dari menimbulkan rasa kurang senang dan kemungkinan pertembungan kaum yang tidak mengharmonikan. Mari kita saling hormati perbezaan kepercayaan, adat dan budaya yang wujud di negara ini.

“Hentikan momokan tidak matang menakutkan kaum bukan-Melayu khususnya kepada tulisan Jawi. Ia hanya tulisan dan alat komunikasi. Sama sepertimana orang Melayu juga belajar tulisan atau kaligrafi Cina, Tamil dan lain-lain.

“Kalau kita bersikap eksklusif dan melampau, jangan nanti ada pihak mendesak logo halal JAKIM dan tulisan Jawi diharamkan digunakan pada produk keluaran bukan-Muslim. Masa itu siapa susah?” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu kemenangan kepada umat Islam dan rakyat negeri Pahang khususnya serta berharap ADUN itu tidak berhasrat untuk membuat rayuan.

Mahkamah Tinggi Kuantan menolak Chow bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di negeri ini, hari ini.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz juga memerintah Chow, 37, selaku plaintif untuk menjelaskan kos masing-masing RM5,000 kepada Majlis Daerah Raub (MDR) dan Kerajaan Negeri Pahang, yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Dalam penghakiman itu, mahkamah menegaskan tidak perlu campur tangan dalam polisi penggunaan tulisan Jawi yang diwajibkan mulai 1 Januari 2020 kerana telah diputuskan oleh kerajaan negeri mengikut tatacara yang betul. 

“Polisi ini telah dibincangkan dan dibahaskan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang yang bersidang pada 29 Mei 2019 juga bersetuju dengan penyeragaman penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di Pahang. 

“Jika mahkamah harus menyemak segala keputusan mesyuarat EXCO, maka akan berlaku banyak polisi yang hendak dibantah dibawa ke sini, walaupun dibuat dengan tatacara yang betul. Sehubungan itu, mahkamah memutuskan tiada merit di peringkat ini untuk pemohon diberikan kebenaran,” kata Hakim.
 
Keputusan juga menolak hujah ADUN DAP itu bahawa semua arahan berkaitan penggunaan tulisan Jawi itu adalah terbatal dan tidak boleh diguna pakai kerana arahan tersebut tidak diwartakan, memandangkan beliau mempunyai pengetahuan mengenai pelaksanaan polisi berkenaan. 

Ini kerana jelas Zainal Azman, Chow selaku ADUN di negeri ini telah menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada Julai 2019 disusuli notis garis panduan penggunaan tulisan Jawi daripada MDR pada Oktober 2019. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -