Abdul Muzir pergi tak berganti aktivis sepertinya

Aktivis PAS Kawasan Bentong Negeri Pahang maut kemalangan

- Advertisement -

PEMERGIANNYA dalam keadaan sedang ‘on duty’ untuk agamanya. Sebelum kembali ke rahmatullah, almarhum mengikuti mesyuarat kebajikan Cakne Rakyat dan rutin penghantaran akhbar Harakah di Kampung Janda Baik usai tamat waktu berkerja. Itulah tugasan penutup arwah beberapa minit sebelum beliau pergi buat selama-lamanya, lewat petang semalam.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah ketika diminta mengulas khabar duka pemergian sahabat Ahli Jawatankuasa PAS Bentong, Almarhum Abdul Muzir Samsuddin, nyata terlalu sedih dan cuba menahan air mata daripada keguguran.

“Saya sedih saat dia pergi saya tak dapat bersama kerana sedang menjalani tempoh kuarantin kerana semalam saya ambil anak balik dari Sabah.

“Saya dalam perjalanan ke KLIA 2 semalam dan saya dapat lihat kesibukan anggota  bomba, polis dan ambulans di tempat kejadian. Saya tak menyangka bahawa itu sahabat kita yang sedang terkujur di tepi jalanraya,” ujar beliau sebak.

Bercerita lanjut mengenai peribadi almarhum, Khairuddin berkata arwah seorang yang tidak mengeluh jika diberi tugasan dan ‘easy going’. Boleh diajak ke mana-mana sahaja untuk bekerja dan tidak pernah menolak jawatan. Malah mampu menggalas semua tanggungjawab sekalipun telah banyak komitmen sedia ada dan terikat dengan kerja.

Antara jawatan almarhum di peringkat PAS Kawasan adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dun (JPrD) Ketari, Setiausaha Urusan Ulamak Kawasan, Ahli Jawatankuasa Muafakat Nasional Parlimen Bentong, Bendahari PASTI, Perunding SKIMPAS Bentong dan terbaru diamanahkan sebagai Ketua PAS Cawangan (KPC) Janda Baik.

Almarhum juga menggalas tugas di peringkat negeri sebagai Timbalan Pengarah 2 Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Pahang dan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Pahang. Manakala di peringkat NGO pula almarhum terlibat aktif dalam UMMAH Negeri Pahang, AJK Cakne Rakyat Bentong dan Abrar Care Malaysia (ACM) serta Pengerusi KHIDMAT Malaysia Cawangan Bentong.

“Secara peribadi, sepanjang hayat bersama jamaah banyak masa kami dihabiskan bersama terutama ketika wabak COVID-19 sejak Mac lalu, beliau banyak berada di Bilik Operasi JPrD. Beliau sangat ceria dan sentiasa memikirkan mengenai jamaah khusus untuk tambah baik legasi Kebajikan Kawasan.

“Saya mewakili PAS Kawasan Bentong merakam ucapan takziah kepada keluarga almarhum. PAS Bentong kehilangan seorang sahabat baik dan sebutir mutiara yang mesra tugas dan disenangi ramai. Sama-samalah kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh-Nya bersama-sama anbiya’, suhada dan solihin,” ulas ‘Cikgu Din’ yang redha menerima ujian kehilangan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yohanis Ahmad ketika ditemui pemberita awal pagi tadi melahirkan rasa dukacita atas kehilangan seorang ahli PAS yang sangat komited dengan urusan parti

“Saya secara peribadi agak rapat juga dengan almarhum. Beliau seorang yang murah dengan senyum, tidak banyak cakap tapi kerja jalan. Saya merasa amat terharu atas kehilangan beliau.

“Beliau banyak memegang jawatan bermula daripada Cawangan hinggalah ke peringkat negeri, tetapi kesemuanya dilaksanakan dengan baik oleh arwah. Baru-baru ini pun saya mendapat tahu arwah telah berusaha menghidupkan PAS Cawangan Janda Baik, dibantu isteri dan anak-anak beliau. Semoga ia menjadi motivasi berharga kepada ahli-ahli PAS untuk bekerja sampai hujung nyawa seperti arwah.

“Saya mewakili PAS Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan semoga Allah merahmati dan mengampuni arwah dan menempatkan arwah di sisi para syuhada dan solihin,” ujar Yohanis seusai melaksanakan solat jenazah diimamkan Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Roslan Mad Esa bersama-sama limpahan para jamaah yang membanjiri Masjid Sultan Sulaiman, Ketari awal pagi tadi

Seorang sahabat seperjuangan senior arwah berkata, “PAS Bentong memerlukan 10 orang pejuang untuk menggantikan tempat Muzir. Patah kan tumbuh hilang pasti berganti, tapi manakan sama Muzir seorang,” luah beliau

Almarhum Abdul Muzir Samsuddin, 48, menghembuskan nafas terakhir dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Tol Bentong lewat petang semalam. Arwah meninggalkan seorang isteri, Tun Khatijah dan 7 anak serta seorang saudara kembar, Mohd Zamri Samsuddin yang bertugas di tempat sama di Syarikat Elektriksola Janda Baik.

Selesai sudah segala urusan duniamu sahabat. Selamat beristirehat. Berbahagialah bertemu Sang Pencipta membawa bekal yang sarat, nama yang baik dan bakti berserakan menghiasi dada bumi hingga ke hela nafasmu yang terakhir. Giliran kami pasti sampai menyusulimu.

KHAULAH AL-AZWAR – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -