23 nelayan dipilih anggotai PBB SWART

PUTRAJAYA: Buat permulaan, 11 nelayan di Kelantan dan 12 di Terengganu dipilih menganggotai Pasukan Bomba Bantuan Safety Rescue Team (PBB SWART), sebagai persediaan menghadapi sebarang keperluan kecemasan dalam menghadapi Monsun Timur Laut. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pasukan itu ditubuhkan khusus untuk memberi bantuan sekiranya berlaku kecemasan di kawasan-kawasan pesisir pantai, yang memerlukan khidmat nelayan yang mahir dengan kawasan berkenaan.

Beliau berkata lokasi berisiko yang dipilih untuk pelaksanaan PBB SWART ialah sekitar kawasan Pantai Dungun serta Kuala Nerus di Terengganu, dan Pantai Irama, Bachok serta Pantai Tok Bali, Pasir Puteh di Kelantan.

Advertisement

“Mereka ini bertindak sebagai ‘first responder’ apabila berlaku insiden atau kejadian di pantai yang ditugaskan,” katanya selepas melancarkan PBB SWART di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Mutalib dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Hamdan Wahid.
 
Zuraida berkata antara tugasan PBB SWART termasuk membantu tugas operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, menjalankan rondaan serta membantu tugas kebombaan di kawasan persekitaran atau perkampungan.

Beliau berkata sebelum dilantik dan ditauliahkan sebagai anggota PBB SWART, nelayan yang dipilih itu perlu mengikuti Kursus Latihan Asas selama 10 hari di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Terengganu.

“Pelantikan nelayan sebagai anggota PBB SWART ini sedikit sebanyak membantu ekonomi mereka yang tidak dapat turun ke laut semasa musim monsun,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut, Zuraida berkata JBPM telah menyediakan pelan atur gerak strategik dari segi sumber manusia dan logistik serta mengaktifkan Regional Forward Base (RFB) untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi banjir di seluruh negara. 

Lokasi penempatan aset mengikut zon telah dikenal pasti iaitu bagi zon utara di Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Pulau Pinang; zon selatan di Balai Bomba dan Penyelamat Air Hitam, Johor; dan zon timur di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Marang, Terengganu. – BERNAMA