Peralatan JBPM cukup jika berlaku kecemasan

Gambar sekadar ilustrasi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) khususnya JBPM Kuala Lumpur telah mempunyai pelan kontigensi dan peralatan yang mencukupi sekira berlaku kes kecemasan dan kebakaran bagi kawasan kediaman bertingkat dan kepadatan penduduk tinggi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, kedua kawasan berkenaan khususnya Mont Kiara dan Taman Sri Sinar adalah di bawah jagaan BBP Sri Hartamas.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan jawab lisan Hannah Yeoh Tseow Suan [DAP-Segambut] bagi menyatakan berkenaan peralatan JBPM bagi menangani kes kebakaran melibatkan bangunan kediaman bertingkat seperti Mont Kiara dan Taman Sri Sinar.

Tambah Zuraida, terdapat dua balai bomba yang terletak berhampiran dengan kawasan tersebut iaitu BBP Taman Tun Dr. Ismail dan BBP Jinjang yang mampu bertindak sebagai sokongan untuk memberikan bantuan.

”Jarak BBP Sri Hartamas dengan kawasan Mont Kiara adalah sejauh 1.5 km, manakala jarak dengan Taman Sri Sinar pula adalah sejauh 6.3 km. Tempoh respons bagi kedua-dua lokasi ini masih di dalam capaian bawah 10 minit iaitu 4 minit dan 9 minit,” kata Zuraida di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Selain itu katanya, bagi memastikan semua operasi kebombaan dapat ditangani dengan berkesan, ketiga-tiga balai bomba ini mempunyai kekuatan anggota seramai 133 orang dan dilengkapi dengan jentera seperti 7 buah Fire Rescue Tender (FRT) dan 3 buah van Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Manakala, khusus bagi BBP Sri Hartamas pula, terdapat sebuah water tanker yang berkapasiti 20,000 liter air serta sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP) yang boleh mencapai ketinggian sehingga 37 meter atau lebih kurang 9 tingkat bangunan bagi operasi pemadaman kebakaran dan penyelamatan.

Mengulas lanjut katanya, bagi menangani isu kepadatan penduduk dan premis yang berdekatan antara satu sama lain, premis-premis berkenaan juga telah mematuhi jarak keselamatan dan dilengkapi dengan sistem amaran serta pemadaman kebakaran berdasarkan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984).

Antara sistem pemadaman yang telah dipasang di dalam bangunan tinggi (High Rise Building) adalah seperti, Sistem Pancur Basah (Wet riser), Sistem Gegelung Hos (Hose reel), Alat Pemadam Api (Fire Extinguisher) dan Sistem Pengesan Asap (Smoke detector).

Bagaimanapun katanya, dengan adanya sistem pemadaman kebakaran yang lengkap di dalam bangunan mengikut UBBL 1984, segala pengendalian operasi pemadaman boleh dilaksanakan daripada dalam dan luar bangunan. – HARAKAHDAILY 16/11/2020