Peningkatan tinggi import sawit India memberangsangkan

Foto Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komuniti (MPIC)
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, pasaran Minyak Sawit Mentah (MSM) ke negara India telah melonjak naik dengan kadar yang cukup membanggakan.

Dilaporkan bahawa India mengimport sejumlah 518,370 tan minyak sawit dari Malaysia pada Oktober, hampir 32 peratus lebih banyak daripada jumlah bulan September iaitu sebanyak 393,000 tan metrik minyak sawit.

- Advertisement -

Jumlah import minyak sawit India dari negara kita pada bulan Oktober ini terbahagi kepada 511,672 tan MSM dan 6,698 tan minyak isirung sawit mentah (CPKO).

Awal tahun ini, kerajaan India telah menyenaraikan olein sawit RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) di dalam senarai barangan ‘sekatan’ yang menyebabkan pengimport perlu memohon permit dan menjadi punca kemerosotan pengimportan minyak sawit bertapis.

Keputusan kerajaan India ini telah memberikan kesan kepada import minyak sawit negara tersebut menurun kepada hampir kurang 20 peratus daripada jumlah bulan Disember 2019 dan ianya telah menyebabkan penurunan jumlah export minyak sawit Malaysia ke India.

Menurut kenyataan rasmi daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada bulan Mei yang lalu, harga minyak sawit di pasaran akan mengukuh semula susulan pengimport India kembali membeli minyak sawit dari Malaysia.

Dr Mohd Khairuddin menyatakan bahawa perubahan pendirian kerajaan India untuk tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis serta kesediaan kerajaan Malaysia memastikan jurang dagangan kembali rapat telah membantu peningkatan import oleh negara berkenaan selain faktor harga pasaran minyak sawit mentah yang kini berada di bawah paras pencukaian duti eksport Malaysia.

Jumlah import sawit pada Februari tahun ini hanya sebanyak 5,890 tan sahaja, ia menunjukkan penurunan yang sangat ketara jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya iaitu 136,219 tan pada bulan Januari dan 110,562 tan pada bulan Disember 2019.

Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada Januari hingga April 2020 menunjukkan penurunan drastik hampir 94 peratus kepada 96,145 tan berbanding tempoh yang sama 2019 dengan jumlah eksport pada 1.6 juta tan.

Semoga kejayaan ini akan terus dipertingkatkan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan ini.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras[Surah Ibrahim : ayat 7]

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
29 Rabi’ul Awwal 1442 / 15 November 2020 – hARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -