Pembangkang tidak sehaluan bahas bajet

ALOR SETAR: Pembangkang Dun Kedah dianggap tidak sekata dan bercanggah antara satu sama lain ketika membahas anggaran Bajet Kedah 2021.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka seperti tiada sekata dan ada dalam kalangan mereka mencadangkan projek-projek ditangguhkan, ada yang bersetuju diteruskan.

“Yang hairan Adun yang minta ditangguhkan itu dahulu antara yang kuat mencadang agar projek itu dilaksanakan,” katanya pada sidang media sempena persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga pembangkang mengkritik berkenaan projek berimpak tinggi yang menjadi tumpuan di Kedah sekarang.

Advertisement

“Namun kebiasaan pembangkang antaranya menimbulkan pertikaian dan keraguan terhadap bajet yang dibentangkan pihak kerajaan.

“Antara soalan yang mereka ajukan, mereka sendiri tahu jawapan sebab hampir kesemua Adun Pembangkang Pakatan Harapan (PH) pernah menjadi Exco dan yang pernah menjadi Menteri Besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2020