Maut dan mati bukan datang 100 tahun sekali

SEORANG sahabat mengirimkan saya satu mesej bergambar dengan catatan ‘Pelik tapi benar, wabak maut muncul setiap 100 tahun.’ Ada empat gambar yang ditunjukkan.

(1) The Great Plauge of Marseille, 1720
(2) The First Cholera Pandemic, 1820
(3) The Spanish Flu, 1920
(4) The COVID-19, 2020

Sama ada ia adalah satu kebetulan atau sememangnya satu lingkaran wabak yang sentiasa berulang pada setiap 100 tahun, saya tidak pasti. Bahkan itu tidaklah terlalu penting bagi saya. Yang penting dan pasti, bahawa maut dan kematian bukannya datang 100 tahun sekali, tetapi pada setiap saat ia akan menjengahi setiap yang bernyawa apabila telah tiba saat yang ditakdirkan ilahi. Setiap yang bernyawa pasti akan mati!

Advertisement

Persoalan di hadapan kita bukanlah mengenai COVID-19 atau wabak setiap 100 tahun sekali itu. Tetapi apakah persiapan untuk kita menghadapi mati? Saya sering bertanya kepada diri sendiri…

(1) Apakah seluruh dosa yang aku pernah lakukan telah aku taubati?

(2) Apakah sudah banyak amal soleh yang telah dipersiapkan untuk membekali diri saat menghadapi mati?

(3) Apakah peluang yang masih Allah berikan ini perlu diisi dengan keseronokan dunia yang sementara atau dipenuhi dengan tanggungjawab yang diamanahi?

(4) Jika, hari ini Malaikat Maut datang menjemput, sudahkah aku bersedia untuk dibawa pergi mengadap Ilahi?

Teringat saya kepada pesan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Katanya, ‘Hidup ini ibarat lilin yang ditiup angin. Bila-bila masa sahaja boleh padam dan mati!’

Wahai Tuhan, ampunkanlah aku, hamba-Mu yang lemah ini. Ampunkanlah juga seluruh kaum Muslimin dengan rahmat-Mu. Kasihanilah kami. Terimalah amal kami dan masukkanlah kami semua di kalangan hamba-hamba-Mu. Dan masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu. Aku memohon di pintu kerahmatan-Mu, sehingga Engkau meredhai.

MOHD FADHLI GHANI – HARAKAHDAILY 16/11/2020