KPM beri perhatian lengkapi fasiliti sekolah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberi perhatian kepada usaha menyediakan fasiliti bangunan dan kemudahan sekolah yang dapat berfungsi dengan baik, untuk semua sekolah di seluruh negara.

Demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Dato’ Dr. Mah Hang Soon ketika menjawab pertanyaan, Dato’ Azizah Dato’ Seri Panglima Mohd Dun [BERSATU-Beaufort], bagi menyatakan berkenaan kaedah yang diguna pakai oleh KPM dalam mengenal pasti sekolah-sekolah daif yang memerlukan penaiktarafan, di dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, perkara ini adalah penting untuk memastikan prasarana yang kondusif serta pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dalam keadaan selamat di sekolah.

Selain itu, KPM juga sentiasa memantau keadaan fasiliti bangunan dan kemudahan sekolah, melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Katanya, KPM mempunyai maklumat dan data perincian yang telah disahkan berdasarkan komponen fizikal atau fasiliti bangunan di sekolah yang tidak sempurna, tidak berfungsi atau tidak selamat.

Sementara itu katanya, KPM telah mewujudkan satu mekanisme atau kaedah khusus dalam mengenal pasti keadaan bangunan di sekolah.

Malah, bermula pada tahun 2019, KPM turut melaksanakan analisis skor gred impak sebagai penambahbaikan bagi menentukan tahap keadaan komponen fizikal atau fasiliti bangunan di sekolah.

“Skor ini mempunyai 7 tahap skala. Skala 1 hingga skala 4 merujuk kepada keadaan bangunan yang masih berfungsi dan selamat digunakan. Manakala, skala 5 adalah bangunan yang dilaporkan oleh pihak sekolah sebagai tidak selamat.

“Skala 6 pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal PPD atau JPN. Sementara skala 7 merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Justeru itu, melalui penilaian tersebut , KPM dapat menentukan keutamaan untuk melaksanakan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah yang tidak selamat digunakan. T

Tambah beliau, tumpuan utama KPM adalah kepada bangunan yang berada pada skala 7 dan skala 6. Dan bagi bagunanan daif juga akan dibaik pulih, dinaik taraf atau dibina bangunan gantian.

Bagaimanapun, KPM juga melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi bangunan sekolah yang masih boleh diperbaiki berdasarkan keperluan tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan. – HARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -