Iblis berwawasan dalam menyesatkan manusia

PERANCANGAN Iblis sangat licik dalam menyesatkan manusia sebagaimana janjinya yang angkuh: 

Advertisement

“Iblis berkata: ” Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya.””

(Sadd: 82)

Manusia yang sihat akalnya pasti akan menolak menyembah kayu, batu, api, besi dan segala objek yang diciptakan manusia tetapi Iblis tidak tergopoh-gapah seperti manusia kerana Iblis sangat penyabar dan penuh dengan strategi (tipu daya).

Sedikit demi sedikit menggelincirkan manusia mendekati penyembahan berhala dengan mencantikkan pada pandangan mata mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah baik dan hanyalah suatu cara mendekati Tuhan serta manifestasi cinta kepadaNya:

“Dan orang-orang Musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.”

(az-Zumar: 3)

Sedarilah, penyembahan berhala bukannya suatu revolusi tetapi merupakan suatu evolusi. Ambillah iktibar bagaimana agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S kemudian bertukar menjadi penyembahan 360 berhala di kota Makkah menerusi usaha seorang alim dan berpengaruh di zaman mereka iaitu Amr ibn Luhay al-Khuza’i.

Wahai manusia, berwaspadalah terhadap Amr ibn Luhay al-Khuza’i moden. Andai kalian cintai Allah dan RasulNya, maka ikutilah firman Allah S.W.T ini:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.””

(ali-‘Imran: 31)

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

(al-Ahzab: 36)

Semoga Allah S.W.T memberikan hidayah kepada mereka yang belum Muslim serta kita yang telahpun Muslim. Allahuma Ameen

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 16/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.