Catatan Dipembaringan: Motivasi dari nikmat sakit…

- Advertisement -

BEBERAPA bulan ini saya lalui hari-hari yang agak menyukarkan, untuk bergerak dengan baik kerana keuzuran. Namun tetap digagahi demi perjuangan yang berliku dan rencam cabaran serta dugaannya.

Saya cuba bertahan dengan segala daya dan meneruskan langkah demi menerbitkan akhbar Harakah yang amat saya sayangi ini. Di sini saya bermula, di sini juga ladang ilmu saya teroka. Di sini saya kenal erti kawan dan lawan, di sini mengajar saya nilai sebuah perjuangan.

Dua minggu kebelakangan ini kesihatan makin terjejas, selama beberapa bulan ini juga tidak mudah untuk saya bekerja bermula jam 6 pagi hingga lewat malam dalam keadaan keuzuran yang makin merancak ujiannya, pun begitu saya gagahi. Apatah lagi selepas melihat kejayaan PAS menjadi salah sebuah parti yang berjaya membentuk kerajaan persekutuan dan semangat ini tentunya berkobar-kobar melihat PAS dipersada.

Biarpun banyak calitan negatif cuba dilontar musuh khasnya RBA yang ditunjangi PH, namun kami di Harakah melangkah walau dengan ‘tongkat’ kesakitan tetapi kayuhan membadai kebenaran, menyanggah fitnah tetap diutamakan.

- Advertisement -

Bak kata pepatah, berpantang ajal sebelum maut, maka perjuangan ini begitu juga, adapun ujian kesihatan yang dihadapi adalah sunnah berjuang.

Daripada mampu berjalan kini sikit demi sedikit langkah ini makin goyah dan tidak lagi secergas dulu. Benar air ada pasang surut, Iman ada turun naik, muda ada tua, miskin ada kaya, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati.

Minggu ini kali pertama dalam hidup saya mengambil cuti tanpa gaji agar benar-benar saya mampu berehat dan berubat dengan baik. Pun begitu, tangan ini tetap tidak boleh rehat daripada melakar dan menguruskan bahan, cuba membantu seterdayanya buat Timbalan, Mazlan Jusoh yang datang ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu demi sebuah tugas yang digalasnya. Bukan suatu yang mudah.

Rakan-rakan datang menziarahi Wan Nordin

Sakit. Ya semua insan akan hadapinya, tidak kira tua atau muda. Sakit penghapus dosa, sakit itu penyeri kepada hidup. Ada kala kita merasainya beban, namun bila difikirkan hikmahnya maka kita akan tersenyum walau menahan kesakitan.

Sedikit perkongsian petikan hadith yang dapat saya nukilkan kali ini.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)

Pengajaran daripada hadith di atas Allah SWT Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Rahmat Allah SWT akan sentiasa bersama-sama hamba-Nya ketika dalam ketaatan, manakala keampunan Allah SWT pula akan sentiasa bersama-sama seseorang hamba yang bertaubat ke atas kekhilafan atau kesilapan yang dilakukan.

Seseorang Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, sehingga duri yang menyucuk sekalipun dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai kifarah (penghapus dosa) agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.

Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya, apatah lagi dosa seseorang hamba yang memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Pengampun.

Setiap satu takdir atau kejadian yang telah diturun kan Allah ada hikmahnya. Ujian kesakitan kali ini kepada saya ketika ini memberi ruang dan masa untuk saya berfikir sejenak mengenai keindahan ujian Allah ini dengan sujud syukur yang tidak terhingga.

Tiada yang dapat menggantikan nikmat dan hikmah dari kesakitan tatkala kita memanjatkan syukur kerana kita tidak diuji dengan ujian yang lebih berat samada terus hidup dalam gelombang dosa atau bersama lalainya dunia.

Penulis adalah Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob. – HARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -