Belanjawan 2021 amat penting kepada Bumiputera

Ahli Parlimen mesti pastikan ia dapat diluluskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Insiden kemiskinan Bumiputera pada 2019 adalah 7.2 peratus berbanding kaum Cina (1.4 peratus) dan India (4.8 peratus) dengan purata pendapatan bulanan juga secara konsisten lebih rendah dibandingkan kaum lain.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, demikian itu tentu sekali tahun ini iaitu disebabkan pandemik COVID-19, keadaan menjadi lebih buruk khususnya kepada ekonomi dan pendapatan Bumiputera.

“Disebabkan itu, kerajaan melalui Belanjawan 2021 memperuntukkan 28 peratus peruntukan lebih tinggi daripada tahun sebelum ini dalam usaha mengimbangi kesan pandemik COVID-19 dan meningkatkan semula ekuiti serta pendapatan Bumiputera pasca COVID-19.

“Ini semua langkah awal untuk merealisasikan hasrat kerajaan mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera menjelang 2030. Bagaimanapun, hasrat ini tidak boleh dicapai sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan Dewan Rakyat.

“Tentu sekali semua belanjawan itu mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dan setiap satu daripadanya juga semestinya tidak sempurna dan mampu memuaskan hati semua pihak, namun semua belanjawan sebelum ini akhirnya diluluskan,” ujar beliau.

Kekuatan dan kelemahan tersebut disandarkannya kepada fakta bahawa selepas kemerdekaan, negara berhadapan pembentangan belanjawan oleh tiga kerajaan berbeza, merujuk Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Menyoroti inti pati Belanjawan 2021 kupasnya, antara perbelanjaan terbesar disediakan kerajaan dalam konteks mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum adalah peruntukan untuk pembangunan dan ekonomi Bumiputera.

Terangnya, usaha membantu pembangunan dan ekonomi Bumiputera dapat dilihat dengan jelas apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyebut perkataan Bumiputera sebanyak 14 kali ketika pembentangannya.

“Bahkan, kerajaan memperuntukkan RM11.1 bilion bagi pembangunan ekonomi Bumiputera, tambahan RM3.1 bilion yang juga peningkatan 28 peratus dibandingkan tahun sebelum ini.

“Antara inisiatif membantu agenda ekonomi Bumiputera, termasuk peruntukan RM6.5 bilion untuk meningkatkan pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menjalankan program khusus.

“Termasuk pendigitalan pembelajaran pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta menaik taraf program peringkat sijil kepada diploma,” ujarnya yang juga pensyarah kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam tulisannya disiarkan Berita Harian, hari ini.

Bentang beliau juga, dalam konteks membantu usahawan Bumiputera terjejas, kerajaan menyediakan RM4.6 bilion, termasuk RM510 juta bagi tujuan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro Bumiputera.

Peruntukan tersebut maklumnya, termasuk melalui TEKUN dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), selain RM800 juta juga diperuntukkan melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

Selain itu katanya, RM2 bilion disediakan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan RM1.3 bilion untuk pelbagai program peningkatan kapasiti, termasuk pembangunan profesional.

Beliau merujuk peruntukan itu kepada Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera termasuk erajaan juga merangka inisiatif khusus meningkatkan pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah.

“(Iaitu) menerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bagi melaksanakan pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu. Ini dapat mengoptimumkan nilai tanah rizab serta membantu ekonomi Bumiputera.

“Semua inisiatif berkenaan amat kritikal lebih-lebih lagi ketika ini ekuiti Bumiputera pada tahap antara terendah, iaitu 16.2 peratus sahaja jika dibandingkan 23 peratus pada 2011 dan 19.3 peratus pada 1990,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -
- Advertisement -