Muslimat Sarawak serah bantuan mangsa kebakaran

PETRA JAYA: Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak telah menggerakkan sumbangan bantuan kepada keluarga-keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bintawa Ulu, Kuching, di sini semalam.

Advertisement

Sumbangan telah disampaikan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Sarawak, Habsah Bujang yang hadir berziarah bersama rombongan diketuai Yang DiPertua PAS Kawasan Petra Jaya, Morshidi Hassan.

Barangan keperluan harian yang diserahkan langsung kepada setiap keluarga mangsa terlibat itu sebagai menzahirkan simpati dan keprihatinan PAS dengan harapan meredakan tekanan emosi dan trauma mangsa.

“Kami berharap sedikit sumbangan daripada pihak Muslimat PAS Sarawak ini dapat meringankan beban ditanggung oleh mangsa terlibat.

“Apatah lagi dalam kesukaran hidup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” ujar Setiausaha Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Sarawak, Nurhafiza Wahid.

Sebanyak lima kediaman serta tiga kereta dan tujuh motosikal musnah keseluruhannya dan dua rumah lagi terjejas rosak, namun tiada kemalangan jiwa dalam kejadian jam 1:30 pagi semalam.

Tabung Derma Kilat turut dibuka kepada para dermawan yang boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam 11013010073531 atas nama Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak dan sebarang transaksi boleh dimaklumkan kepada Diana Bakar di talian 013-5984374. – HARAKAHDAILY 15/11/2020