Bajet Kedah 2021 fokus kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Penjawat awam di Kedah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,000 seorang menjelang Disember 2020  sebagai menghargai sumbangan mereka menangani pandemik Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM5.6 juta dan akan dibayar pada Disember depan.

- Advertisement -

Ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 pada persidangan Dun di Wisma Darul Aman katanya, semua petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Kedah akan menerima sumbangan  one-off‘  RM200.

Frontliners khususnya kakitangan kesihatan terpaksa bekerja tanpa cuti lebih-lebih lagi ketika wabak menular dengan agak serius di Kedah beberapa bulan lalu.

“Walaupun Bajet Kedah 2021 dirangka dalam suasana ekonomi agak menguncup namun tanggungjawab kerajaan untuk menjaga keselamatan, kesihatan sebagai asas kesejahteraan sentiasa diutamakan,” kata beliau hari ini.

Bajet Kedah 2021 dengan anggaran hasil sebanyak RM720 juta manakala perbelanjaan mengurus  berjumlah RM798.88 juta, pembangunan RM200.99 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan RM999.88 juta.

Kedah dijangka mengalami defisit 11 peratus iaitu RM78 juta.

“Sekiranya ditambah dengan perbelanjaan rawatan air iaitu RM71 juta, jumlah keseluruhan sebanyak RM1.8 bilion, bagaimanapun perbelanjaan rawatan air akan dibiayai Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.

Katanya, bajet bertemakan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua bakal membawa kesejahteraan kepada golongan kurang berkemampuan dengan beberapa insentif membantu meringankan bebanan mereka.

Beliau membawa contoh kehidupan seorang peniaga kecil-kecilan (Kak Ton) bersama keluarganya yang dikatakan berupaya memperolehi bantuan sebanyak RM20,000 pada tahun depan melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan membantu golongan miskin.

Program Bantuan Beras Sejahtera bakal dinikmati 3,600 keluarga setiap bulan dengan peruntukan RM2.16 juta  mensasarkan 100 keluarga setiap Dun pada tahun depan, meningkat dua kali ganda dari 50 keluarga sebelumnya.

“Program Anakku Sejahtera yang akan dimulakan pada 2021 dengan peruntukan sebanyak RM1 juta akan memberi faedah kepada setiap kelahiran bayi dari keluarga B40 dengan sumbangan sebanyak RM100 melalui simpanan SSPN.

“Selain itu sebanyak RM24.82 juta untuk kebajikan masyarakat termasuk bantuan am bulanan, bantuan bencana, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan rumah orang-orang tua,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -