Program TVET untuk lepasan pengajian Islam dialu-alukan

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Inisiatif kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan program TVET bagi lepasan pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok merupakan langkah positif yang memberi manfaat kepada lebih 15,000 ribu pelajar tahfiz di seluruh negara.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, menerusi kenyataannya semalam.

- Advertisement -

“Peruntukan sejumlah RM29 juta untuk tujuan itu secara tidak langsung memberikan satu pengiktirafan kepada institusi tahfiz dan sistem pengajian pondok di mana lepasannya menjangkau angka ribuan saban tahun,” ujar beliau merujuk kepada pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini.

Justeru ituAhmad Fakhruddin menggesa agar kerajaan mengambil serius masa depan lepasan institusi pendidikan Islam kerana dibimbangi akan mewujudkan masalah pengangguran serta pembaziran tenaga kerja kepada negara.

Ahmad Fakhruddin yang juga ahli jawatan kuasa PAS Pusat mengharapkan agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diberikan tanggungjawab menyempurnakan inisiatif tersebut tidak mengetepikan pelajar-pelajar lain yang telahpun mengikuti program TVET sebelum ini.

“Terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu ada dalam pertimbangan pihak KPT, antaranya apakah kriteria pemilihan pelajar yang layak mengikuti program berkenaan.

“Sama ada meletakkan kemampuan serta kebolehan hafazan 30 juzuk al-Quran atau sebagainya,” soal Ahmad Fakhruddin lagi.

Selain itu, tegasnya KPT perlu membuat persediaan untuk membina platform penyaringan pelajar yang layak memasuki jurusan TVET di mana-mana institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf seperti prosedur pengisian borang UPU atas talian dan sebagainya.

Pihak KPT juga perlu membina hubungan serta jaringan komunikasi dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri kerana mereka adalah pihak berkuasa agama negeri yang mempunyai data penuntut sekolah tahfiz dan pondok yang lengkap.

“Kebanyakan sekolah-sekolah agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri menjalani peperiksaan kelolaan jabatan yang menawarkan Sijil Menengah Agama (SMA).

“Apakah mereka dikira layak mengikuti jika lulus SMA?” katanya memohon pencerahan.

Justeru itu, kementerian terbabit juga perlu melihat dan memperhalusi had umur pengambilan pelajar berikutan kemasukan pelajar ke IPT adalah dalam lingkungan umur 19 tahun berbeza dengan pengambilan di Pusat Latihan Giat MARA yang membenarkan umur 16 tahun mengikuti aliran berkenaan.

“Perkara-perkara di atas adalah antara ujian umum yang perlu dilalui oleh pihak KPT dalam merealisasikan program TVET bagi lepasan institusi tahfiz dan pondok.

“Pelaksanaan program ini tidak mustahil, tetapi memerlukan ketekunan dan kerja kuat bagi memberikan pengiktirafan kepada institusi pendidikan Islam dan menobatkannya seiring dengan institusi pendidikan arus perdana,” sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/11/2020

- Advertisement -