Pelitup muka, penjarakan sosial kurangkan risiko jangkitan

Foto RIZAL TAHIR

PENGKALAN CHEPA: Sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial adalah kaedah terbaik diamalkan ketika berada di luar rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, kaedah itu dipercayai dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Advertisement

“Penjarakan sosial dan memakai pelitup muka mesti dilakukan setiap kali berada di luar rumah.

“Menurut kajian dua kaedah ini begitu berkesan dan mampu mengurangkan kadar jangkitan sehingga 80 peratus,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis gotong-royong membersih Tanah Perkuburan Cabang Tiga Signal, di sini hari ini.

Program berkenaan diadakan sempena Bulan Dakwah Yadim 2020 yang bertemakan Kami Peduli.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, dengan memakai pelitup muka orang ramai dapat mengelak dari penyakit berjangkit melalui titisan air seperti infulenza, tibi selain Covid-19.

Menurutnya, sikap panik juga tidak boleh menyelesaikan sebarang masaalah, sebaliknya lebih merumitkan keadaan.

Jelasnya, tindakan paling wajar diambil oleh anggota masyarakat berada di rumah serta elak dari berada di tempat yang sesak.

Jelasnya, Kluster Kube yang merupakan kluster baharu Covid-19 hanya berlaku dalam kalangan keluarga terdekat sahaja.

“Tidak adil sekiranya menghukum anak Kelantan di perantauan yang pulang bercuti dengan menuduh mereka sebagai pembawa virus tersebut.

“Jangan memarahi mereka dan anak Kelantan yang pulang dari zon merah saya nasihatkan beradalah di rumah dalam tempoh 14 hari sebaik sahaja sampai ke rumah masing-masing,”ujarnya.

Katanya, virus berkenaan aktif dalam tempoh 14 hari.

Tambahnya, sekiranya dalam tempoh berkenaan individu berkaitan tidak berada di luar, virus berkenaan terhenti di situ.

“Saya jangkakan kita dapat memutuskan rantaian ini sehingga hujung tahun ini jika semua pihak sama-sama menjaga diri masing-masing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2020