Ariffin terima Anugerah Malaysia Tourism Heroes 2020

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ustaz Ariffin Deraman diumumkan, penerima ‘Anugerah Malaysia Tourism Heroes’ sempena Malaysia Tourism Gold Summit 2020, semalam.

Anugerah itu diterimanya ketika Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020, yang berlangsung dari 11 hingga 13 November 2020 di platform digital maya http://www.MTCSummit.com.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan syukur dan jutaan terima kasih kepada pihak Majlis Pelancongan Malaysia atas pengiktirafan tersebut.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur, Alhamdulillah dan jutaan terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (Malaysia Tourism Council) atas pengiktirafan yang diberikan kepada saya ini.

“Anugerah ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak terutama semua pegawai dan kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu).

“Ini tidak lupa juga jabatan dan agensi kerajaan lain yang turut terlibat sama dan juga pemain-pemain industri pelancongan yang banyak membantu dan memberi sokongan, ini adalah hadiah untuk negeri Terengganu hasil daripada kerjasama semua pihak.

“Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan dan ditambah baik dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti dan memacu pembangunan negeri.

“Akhir sekali, saya mendoakan agar Terengganu terus maju dalam usaha merealisasikan misi untuk mencapai status ‘Negeri Terengganu Negeri Pelancongan’ Insya’Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Mengikut rekod, Ustaz Ariffin merupakan pemegang dua ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau juga turut mempunyai diploma dari Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (Kudqi) dan sijil pengamal perubatan Islam dari Darussyifa’.

Kerajaan Terengganu memperkenalkan Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan bagi membantu meningkatkan aktiviti pelancongan di Terengganu.

Justeru itu, Harakahdaily dimaklumkan kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat sebanyak 165 peratus dan paling tinggi berbanding dua negeri di pantai timur, Pahang dan Kelantan.

Terengganu juga menjadi destinasi pilihan pelancong domestik hingga mencatatkan peratus penginapan di hotel ketiga tertinggi di Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/11/2020

- Advertisement -