Wakil Parlimen DAP biadab di Parlimen

- Advertisement -

INSTITUSI Parlimen yang mulia, institusi yang menggubal undang-undang tercemar dicemarkan oleh DAP apabila wakilnya dari Kepong Lim Lip Eng pagi semalam dengan bongkak menuduh Speaker Dewan Rakyat sebagai ‘bodoh’.

Ketika itu Speaker Datuk Seri Azhar Azizan Harun sedang mengulas ‘ruling’ yang dibuat Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said ketika mempengerusikan persidangan semalam.

- Advertisement -

Lim membentak:

“Tetapi itu ‘ruling’ yang bodoh yang jahat. Jangan Speaker bersekongkol dengan Bintulu.”

Dalam kekecohon dewan, beliau terus berkata apabila diperintah keluar oleh Speaker:

“Bersekongkol, bersubahat dengan kerajaan. Kamu keluar. Speaker yang patut keluar.”

Beginikah decorum atau kesopanan, akhlak seorang Ahli Parlimen yang dilahirkan oleh DAP? Saya tidak pernah menyaksikan seorang Ahli Parlimen sebiadab begini dalam Dewan.

Jika pun kita tidak berpuas hati dengan keputusan atau tindakan Speaker, nyatakanlah secara sopan dan ikut prosedur yang ada. 

Malu seingat saya Ahli Parlimen Kepong yang lalu iaitu Dr Tan Seng Giaw cukup berakhlak, seorang pemimpin yang hebat disegani dan dihormati sepanjang karier beliau sebagai wakil rakyat di Parlimen. Berlainan dengan Lim ini, biadab dan mahu tunjuk samseng dalam Dewan. 

Di mana perginya prinsip Rukun Negara: ‘Kesopanan dan kesusilaan’ jika di Dewan yang mulia ini pun ia tidak boleh ditegakkan.

Secara umumnya, Tuan Yang di-Pertua atau Speaker Dewan Rakyat berfungsi seperti moderator yang mempengerusikan dan mengawal selia perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat. Jika jawatan ini tidak dihormati apatah lagi dihina pula, bagaimana seorang Ahli Dewan mahu meneruskan tugasnya secara efektif di Dewan?

Insiden ini cukup memalukan negara lantaran akhlak dan perangai buruk wakil DAP ini. Beliau akhirnya digantung 5 hari dari menyertai persidangan Dewan oleh Speaker. Saya kira Lim bukan hanya perlu meminta maaf pada Speaker malah kepada rakyat Malaysia kerana bertindak sedemikian rupa dalam sidang Dewan yang boleh diikuti secara ‘live’ melalui internet.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -