Rakyat Kelantan bersiap hadapi banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU : Sekretariat Bencana Negeri Kelantan meminta orang ramai supaya bersedia menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka bermula hari ini sehingga akhir Disember.

Malah, cuaca di Kelantan mendung sejak beberapa hari lalu. Hujan juga mulai turun pada sebelah pagi.

Setiausahanya, Zainuddin Hussein berkata pihak berkuasa membuat persediaan rapi dengan pertambahan pusat pemindahan banjir ketika penularan wabak Covid-19.

Katanya, mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara mengikut Garis Panduan Pengurusan Bencana Semasa Pandemik dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

- Advertisement -

“Pada tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya kerana Covid 19 jadi urusan untuk mengurus dan mengendalikan mangsa di pusat pemindahan agak berbeza.

“Jika sebelum ini kita tempat 500 mangsa banjir, tetapi sekarang dengan kekangan garis panduan pihak berkuasa kita mengurangkan jumlah pemindahan,” katanya pada sidang media Sekretariat Bencana Negeri Kelantan di Pejabat Jabatan Pertahanan Awam Kelantan di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia cawangan Kelantan, Rabiah Al Adawiah Zakaria.

Zainuddin juga berkata bekalan makanan untuk keperluan mangsa banjir disediakan dan penghantaran makanan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga dikawal.

Langkah itu dibuat kata beliau bagi mengelakkan penduduk yang terjejas dengan banjir berkumpul dalam jumlah yang ramai yang bertentangan dengan prosedur ditetapkan.

“Sebaliknya diminta makan di bilik atau kawasan khas, tempat penginapan bagi mengelak sebarang jangkitan atau penularan Covid 19 dalam kalangan mangsa banjir.

“Kami juga menyediakan tiga lokasi bagi menempatkan mangsa banjir yang memakai gelang pink atau diarahkan menjalani proses kuarantin di rumah,” katanya.

Ia seperti bangunan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Pengkalan Chepa,  Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas dan Institut Pendidikan Guru, Kota Bharu.

Manakala di Gua Musang akan ditempatkan di penempatan Taman Etnobotani dan di Kuala Krai di tempatkan di Hospital Lama Bandar Kuala Krai.

Katanya tahun ini pihaknya menyediakan kekuatan anggota sebanyak 4,899 anggota dari pelbagai agensi dengan 237 bot bagi menghadapi kenungkinan banjir. – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -