Menyingkap keanehan ‘takwa’: Takut tapi rindu

- Advertisement -

TIDAK ada seorang Rasul yang berkecuali dari meminta dua perkara dari kaumnya iaitu takwa dan taat. Sepertimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 50:

- Advertisement -

“….Kerana itu bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.”

Apa itu taqwa?

Taqwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh semasa beramal berlandaskan Quran dan Sunnah.

Kewajiban bertakwa kepada Allah S.W.T bagi orang-orang Mukmin adalah perintah dari Allah S.W.T seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 102:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”

Di antara fadilat atau keistimewaan sifat takwa dari surah al Talaq ayat 2 hingga 5.

“….Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.”

Perkataan ‘Mahraja’ ini maknanya seperti seorang lelaki yang sedang berjalan di sebuah tempat yang sempit sehingga membuatkan tubuhnya tidak boleh bergerak. Kemudian tiba-tiba dia cuba untuk memaksakan dirinya keluar dari tempat yang sempit itu. Akhirnya dia temukan di depan matanya di hujung tempat itu, satu lapangan luas yang ia boleh berjalan dan berlari.

Transisi (peralihan) dari jalan yang sempit ke jalan yang besar inilah namanya ‘mahraj’ dalam bahasa Arab, dengan makna lain juga disebut ulamak seperti lubang biawak.

Biawak ini binatang yang hidup di padang pasir, dan biawak ini jika dilihat lubang atau sarangnya, akan disangka, itu adalah lubang semut, menggambarkan kecilnya lubang sarangnya di bawah tanah.

Jadi apabila biawak besar sudah masuk ke dalam lubangnya di bawah tanah, maka ia akan tutup muka lubang itu dari dalam yang kelihatan seakan-akan lubangnya kecil. Dan di ketika biawak mahu keluar, ia akan menandukkan kepalanya. Ia membongkar kembali permukaan lubang yang ia tutup dari dalam tadi, kemudian ia berhasil mengeluarkan kepalanya dan mengeluarkan badannya dan mencari makan.

Lubang biawak yang ia gali kembali sehingga tubuhnya boleh keluar, nama lainnya dinamakan ‘mahraj’.

Sama seperti ketika mengerjakan umrah atau haji, boleh dilihat  tangga darurat di hotel-hotel untuk menyelamatkan diri dari kebakaran atau kecemasan di tulis perkataan ‘mahraj’, ini adalah pintu ketika darurat.

Allah menjanjikan di dalam ayat ini, “Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan jadikan baginya jalan keluar.” iaitulah jalan keluar dalam hidupnya. Jalan keluar dari pelbagai masalah yang dihadapinya kepada suasana sangat lapang dan luas.

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya…”

Ramai dalam kalangan kita memahami bahawa rezeki adalah seperti  baju, makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal. Pada hal rezeki itu sangat luas, lebih luas daripada itu. Contohnya, di ketika mata kita boleh menangkap cahaya, kita boleh melihat apa-apa sahaja di sekeliling kita dan dan begitu juga sebaliknya.

Kerana adanya cahaya lampu atau cahaya dari matahari, kalau tiada cahaya sekuat mana pun mata kita dan senormal mana pun mata kita, kita tidak dapat melihat apa-apa. Bermakna bolehnya mata kita menangkap cahaya adalah satu rezeki. Suara kita boleh mengeluarkan suara juga satu rezeki. Seterusnya kita masih boleh membezakan mana yang pedas, mana yang pahit dan mana yang manis, juga satu rezeki.

Ertinya seluruh kemampuan ini adalah rezeki, Allah mengatakan:

“Dan Allah memberikannya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.”

Allah akan memberikannya rezeki dan memenuhi segala keperluannya, bukan sahaja makanannya, minuman, pakaian dan apa sahaja yang diperlukannya, tetapi semua yang diperlukan untuk menyempurnakan kehidupannya. Semua keperluan inilah yang akan menjadikan roda kehidupannya sentiasa berputar.

Allah akan memberikannya rezeki dari sumber yang dia tidak sangka-sangka dan datang dengan sendirinya. Ajaibnya kuasa ketakwaan di dalam kehidupan insan.

“….Dan barang -siapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.”

Tapi ramai orang mudah lupa pada kekuatan Allah. Kekadang lupa terhadap kekuasaan Allah dalam mentadbir kehidupan makluk ini, Allah Maha Berkuasa. Ketika sakit, terus berjumpa doktor, “Doktor, macam mana saya boleh sembuh?” Subhanallah.

Sebetulnya, sebelum pergi wahai sahabat-sahabat semua, mohon dan angkatlah tangan ke hadrat Allah: “Ya Allah, jadikan doktor ini penyebab saya sembuh”. In sya Allah, Allah akan sembuhkan dan permudahkan urusan kita di ketika kita meletakkan pergantungan hanya dengan Allah dan bukan pada manusia.

Nabi S.A.W dalam hadis Qudsi riwayat Bukhari: Allah SWT berfirman: “Hai anak Adam, kalau engkau menggantungkan nasib mu pada Aku, Aku akan memenuhi keperluan mu, tapi kalau engkau menggantungkan nasib mu pada selain Aku, Aku akan biarkan engkau dengan pergantungan mu.”

Allah akan berlepas dari kita dan rugilah diri yang tanpa pertolongan dari-Nya, Astaghfirullah.

“….dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.”

Keempat-empat ayat ini menceritakan mengenai keajaiban fadilat ketakwaan dan janji-janji Allah S.W.T. Buah dari ketakwaan kepada Allah S.W.T, sangat banyak kemanfaatannya untuk diri sendiri dan kepada umat manusia seluruhnya. Di antaranya:

Pertama: Dapat menjaga diri iaitu mata, telinga, lisan, perut, kemaluan, kaki, tangan dan hati dari melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

Kedua: Akan lahir dari hati rasa mahabbah kepada Allah, dengan merasa ringan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat.

Ketiga: Hati sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah, sama ada yang baik atau pun yang buruk.

Keempat: Sangat rindu kepada Allah dan Rasulullah sehingga tidak pernah rasa bosan dalam bermunajat dan zikrullah kepada-Nya dengan melakukan solat malam, membaca Quran, menginsafi dosa-dosa dengan mengalirkan air mata dan lain-lain.

Kelima: Khusyuk dalam beribadah.

Keenam: Tidak pernah ada sifat putus asa dari rahmat Allah; dan

Ketujuh: Adil dalam mengerjakan segala sesuatu yang menjadi pekerjaannya. Sebagai orang tua, adil terhadap anak-anaknya, sebagai pemimpin, adil kepada rakyatnya, sebagai guru, adil kepada murid-muridnya dan sebagai hakim, adil dalam memutuskan sesuatu keputusan dalam pengadilannya.

Apabila ciri-ciri sebenar takwa seperti yang ditafsirkan oleh Abdullah bin Masud pada surah Ali-Imran ayat 102 dan 103 iaitu ‘melaksanakan taat, jangan bermaksiat, sentiasa mengingati-Nya, jangan lalai, sentiasa bersyukur dan jangan kufur’, dapat kita hayati, kita akan menjadi orang yang paling mulia di sisi Allah berdasarkan firman-Nya dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa antara kamu.”

Akhirnya ingatlah!, bahawa syurga itu sangat dirindui oleh ahli-ahli takwa dalam kalangan lelaki dan wanita, Siapakah mereka yang tergolong dalam kalangan ahli jannah? Telitilah firman Allah ini:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”
(Ali-Imran: 133)

Jelas di sini bahawa orang-orang yang beriman dan bertakwa, sangat merindui keampunan dan syurga Allah S.W.T dengan amat bersegera kepada segala kebaikan ditunjukkan Nabi-Nya.

Wallahu‘aklam.

FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -