Lagi ahli PAN mohon sertai PAS di Johor

BAKRI: PAS Kawasan Bakri telah mengadakan satu acara ringkas penyerahan borang keahlian bagi permohonan menyertai PAS yang dilangsungkan sederhana di Markaz PAS Kawasan Bakri, Simpang Jeram, di sini kelmarin.

Advertisement

Di saat serangan pelbagai penjuru musuh politik terutama daripada barisan pembangkang Pakatan Harapan (PH) terhadap PAS, namun perkara sebaliknya berlaku dalam kalangan masyarakat.

Detik ini ternyata penuh makna kerana pemohon untuk menyertai PAS ini adalah ahli PAN yang merupakan parti komponen PH dan dilihat oleh sesiapa sahaja sebagai seteru paling keras kepada PAS.

Yang DiPertua PAS Bakri, Ustaz Kamalulnizam Suhut telah menyerahkan sendiri borang-borang tersebut kepada Mohamad Daud Othman dan Ahmad Jimin, masing-masing ahli PAN Taman Desa Taman dan Sri Terap Bakri.

Beliau ketika berbual dengan keduanya amat mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam PAS dan mengharapkan komitmen kepada perjuangan PAS untuk cita-cita menegakkan Islam menerusi wadah politik ini.

Mereka berdua pula turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dan berharap PAS sedia menerima semula mereka sebagai ahli dan berjanji untuk membantu menggerakkan PAS dalam masyarakat.

Pimpinan PAS Bakri yang hadir sama pada majlis ini adalah Timbalan Yang DiPertua, Ustaz Asri Abd Rahman dan Ketua Penerangan, Zulhafez Suhut serta Jawatankuasa Harian lain. – HARAKAHDAILY 13/11/2020