GPMS sifatkan UMANY pengecut, cabar sensitiviti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan permohonan maaf oleh Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) sebagai satu tindakan bacul seolah-olah seperti ‘baling batu sembunyi tangan’.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, hal demikian kerana telah beberapa kali UMANY bertidak melampaui batas dan biadab di mana sudah sampai masanya tindakan seperti ini dihentikan melalui amalan undang-undang.

“Dalam pada masa yang sama UMANY dilihat cuba mengalihkan pandangan masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang ditindas apabila menuduh pihak Polis Diraja Malaysia menyalahgunakan kuasa dan bertindak melampaui hak asasi manusia.

- Advertisement -

“Ini adalah tindakan bacul dan sekali lagi mencabar prinsip kedaulatan undang-undang di dalam negara kita. Dengan ini, GPMS bertegas tidak akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat oleh semua cawangan dan ahli GPMS seluruh Negara

“Juga oleh rakan-rakan NGO seluruh negara. Kami juga menyeru pihak polis agar tidak tunduk dengan permintaan daif UMANY supaya pihak polis menghentikan siasatan. Siapa UMANY untuk menentukan gerak kerja dan siasatan pihak Polis?” ujarnya.

Tegas beliau, UMANY perlu disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebar kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan mereka.

Menurutnya, jika tindakan tidak diambil oleh pihak berkuasa, GPMS bimbang lebih ramai individu mahupun kumpulan-kumpulan pelampau seperti UMANY akan membuat kenyataan-kenyataan yang menghina dan mempersenda isu-isu sensitif seperti ini.

GPMS juga katanya, telah menghantar surat rasmi kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada 2 November yang lalu supaya mengambil tindakan mengharamkan UMANY sebagai sebuah persatuan mahasiswa di Universiti tersebut.

“GPMS merasakan bahawa tidak perlu ada persatuan pelampau yang mampu merosakkan akal waras mahasiswa dan tidak beradab. Kerana ianya jelas bertentangan dengan prinsip kelima di dalam rukun negara yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat selama ini.

“GPMS sebagai sebuah gerakan belia dan pendidikan tertua di negara ini tidak pernah gentar dan takut dengan mana-mana organisasi yang cuba mengkucar-kacirkan keamanan negara. GPMS dan rakan-rakan NGO tidak akan duduk diam jika kes UMANY ini tidak dihukum sewarasnya.

“GPMS juga akan terus menjadi sebuah gabungan pelajar Melayu yang bermaruah dan mempertahankan suara pelajar-pelajar Melayu dalam pelbagai isu termasuk isu nasional,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -