Gesa ASEAN dan dunia tundukkan kedegilan Myanmar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pandangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa penyelesaian krisis di Rakhine, Myanmar menunjukkan bahawa Malaysia sentiasa konsisten untuk melihat melihat hak-hak kemanusiaan ditunaikan.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, usaha itu mesti didukung masyarakat dan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN sendiri tanpa ada sebarang halangan berkepentingan.

Menurut beliau, pandangan dan gagasan Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 itu adalah hasrat melihat penyelesaian jangka panjang berlaku Rakhine di mana bakal menyumbang kepada ASEAN yang lebih harmoni dan makmur.

- Advertisement -

“Kerana kita melihat, perkara yang berlaku ke atas etnik Rohingya di Rakhine itu berpunca dari suatu sikap di pihak yang menganggap Rohingya sebagai bangsa yang perlu dihalau keluar dari tanah air mereka ini. Jika sikap dan tindakan yang dilakukan itu tidak dihentikan oleh masyarakat antarabangsa dan badan dunia, krisis di sana akan berterusan.

“Kerana penyelesaian isu ini memerlukan keadilan. Kenyataan YAB PM bahawa berlakunya eksploitasi dan penindasan ke atas etnik tersebut sememangnya nyata telah disaksikan oleh seluruh dunia. Ia benar-benar berlaku. Malaysia sendiri menerima pelarian yang datang masuk ke negara ini.

“Kunci utama bagi menamatkan krisis ini adalah Kerajaan Myanmar menghentikan sikap terus berdegil untuk tidak terima rakyatnya. Jika tidak, Myanmar sendiri akan terus menghadapi kecaman antarabangsa, beri kesan kepada negaranya sendiri dan terhadap politik dalamannya.

“Etnik Rohingya mesti dibenarkan pulang dengan selamat dan diberikan hak kerakyatan. Jika tidak ASEAN akan terus dalam dilema dan kesuraman politik damai jika krisis ini tidak ditangani oleh Myanmar sendiri,” gesa beliau yang juga aktivis kemanusiaan antarabangsa.

Menurut Ustaz Tarmizi, ASEAN akan lebih aman dan makmur dengan komunitinya yang besar melebihi 400 juta penduduk ini apabila krisis kemanusiaan berlanjutan lebih 60 tahun ini ditamatkan segera.

Kerana katanya, selama ini krisis tersebut telah mengakibatkan ketidakstabilan ke atas iklim politik di negara jiran dan kesannya terhadap negara yang menerima kehadiran etnik ini termasuk Malaysia.

Beliau berharap agar lontaran bernas dan lantang dari Malaysia terhadap penyelesaian ini dapat disambut oleh para pemimpin ASEAN lain sebagai suara bersama, selari konsisten Kerajaan Malaysia terhadap isu ini. – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -