Dahulu buruh sekarang usahawan tani

Mokhtar Zakaria, 58
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Tanaman cili merah fertigasi gantung secara terbuka memberi pendapatan lumayan sehingga mencecah RM50,000 setahun kepada sepasang suami isteri di Kampung Jeram, dekat sini.

Tanaman itu diusahakan Mokhtar Zakaria, 58 di kawasan sekitar rumahnya.

- Advertisement -

Ketika ditemui beliau berkata, kejayaan itu hasil usahanya menginovasikan penggunaan baja organik dan proses penyemburan racun berasaskan alam sekeliling.

“Saya mengusahakannya sebanyak 1,300 pokok setiap musim iaitu sebanyak dua kali setahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Mokhtar berkata, beliau mengusaha tanaman itu sejak 2014 dibantu isterinya Suhaida Abdullah, 43, dengan modal awal sebanyak RM30,000 bagi perbelanjaan membeli pelbagai peralatan.

Katanya, sejak mula mencebur diri dalam bidang pertanian beliau dan isterinya banyak membuat penyelidikan tentang kesesuaian pokok terutama mengenai penggunaan baja dan kaedah penyemburan racun serangga yang betul.

Menurutnya, setiap musim beliau mampu memperolehi hasil antara 3 hingga 6 tan, pendapatan itu bergantung kepada kesempurnaan benih, serangan serangga, kulat dan keadaan cuaca.

“Saya pernah mengalami kerugian besar pada musim tengkujuh 2016 apabila saya tidak dapat menyembur racun dalam tempoh seminggu tetapi kerugian itu tidak mematah semangat untuk mengerjakannya setiap tahun sehingga sekarang,” katanya.

Hasil kegigihan itu Mokhtar pernah memenangi anugerah Inovasi Baja Organik Biomerah Peringkat Kebangsaan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional tahun 2018.

Mokhtar berkata, sebelum ini beliau pernah bekerja kampung, sebagai buruh binaan, jaga dan kontraktor di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung untuk mengerjakan tanaman berkenaan secara komersial.

“Di samping mengusahakan tanaman cili, saya juga berusaha menanam kunyit dan halia sebagai tanaman percubaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -