Belanjawan 2021 : Inklusif dan menyeluruh

Menteri Kewangan Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan buku Belanjawan 2021 : Tinjauan Ekonomi 2021 dan Tinjauan Fiskal kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Parlimen pada hari pembentangan Belanjawan 2021, 6 November - Sumber Foto JAPEN
- Advertisement -

JUTAAN rakyat Malaysia memerhatikan pembentangan Belanjawan 2021 yang merupakan belanjawan sulung kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah dianggap belanjawan paling kritikal dan bersejarah kepada negara sejak merdeka.

Memperuntukkan sejumlah RM322.5 bilion itu, ia sememangnya satu jumlah yang amat besar berbanding belanjawan negara sebelum ini, sebagai contoh Belanjawan 2020 memperuntukkan sebanyak RM297 bilion manakala Belanjawan 2019 sebanyak RM314.5 bilion.

- Advertisement -

Malah, kerajaan sendiri sudah menjanjikan dari awal bahawa Belanjawan 2021 akan melibatkan peruntukan lebih besar kerana menginginkan ia sebagai sebuah belanjawan yang inklusif dan komprehensif demi melindungi rakyat dan menyelamatkan ekonomi.

Namun begitu, terdapat pelbagai cadangan dan pandangan yang telah dilontarkan dari pelbagai pihak baik ahli politik itu sendiri, pegawai perubatan, mahupun ahli akademik serta rakyat turut tidak terlepas dalam memberi sokongan dan pandangan bagi menambah baik agar ia dilihat lebih sempurna dan benar-benar inklusif.

Bagi memastikan belanjawan ini menepati cita rasa rakyat, Menteri Kewangan menekankan dalam ucapannya bahawa buat julung kalinya, siri jelajah dan sesi konsultasi telah diadakan ke seluruh negara yang melibatkan pelbagai pemegang taruh seperti parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemain industri dan ahli akademik untuk mendapat input dan cadangan.

Fokus Belanjawan 2021 turut memberi perhatian kepada tiga matlamat induk iaitu, Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan, dan Ketahanan Ekonomi.

Menteri Kewangan Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, pada 6 November lalu, mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM27 juta kepada CyberSecurity Malaysia, bagi meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.

Peruntukan sebanyak RM27 juta kepada CyberSecurity Malaysia dalam Belanjawan 2021, membuka peluang kepada kerjasama lebih ramai penganalisis dan pakar akademik keselamatan dalam negara untuk memberi pendedahan kualitatif dan pembangunan perisian keselamatan siber.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerjasama itu boleh merangkumi program kesedaran berterusan dan penyediaan manual perlindungan kendiri, bagi mengesan ancaman dan cubaan awal memerangkap pengguna digital atau menimbulkan ancaman kepada industri berkaitan.

Malah katanya, pembangunan perisian dan kawal selia data-data penting yang lebih berpusat, juga harus dijadikan keutamaan kepada keselamatan siber dalam memastikan kerjasama secara strategik dengan industri yang mempunyai akses data digital pengguna.

Langkah berkenaan sekali gus dapat melindungi data-data penting dan perisian daripada digodam oleh golongan tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk melakukan jenayah siber.

Noor Nirwandy berkata, inisiatif kerajaan dalam memperuntukkan RM500 juta kepada Jalinan Digital Negara (JENDELA), merupakan jalan terbaik bagi menyediakan pengaksesan internet lebih baik kepada 430 buah sekolah, bagi memastikan pembelajaran secara dalam talian dapat dilaksanakan lebih mudah.

Ini kerana, JENDELA merupakan pemangkin kepada strategi dan pendekatan bersasar yang menjadi aras tunjuk strategi jangka panjang penyelesaian dan penambahbaikan pembelajaran digital dan dalam talian dalam negara.

Selain itu katanya, pengumuman berkenaan skim pembiayaan komputer riba kepada pelajar universiti adalah berita yang dinantikan oleh mahasiswa, bagi meningkatkan kualiti pembelajaran secara dalam talian kepada mereka.

Memetik kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Dato’ Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya telah dan akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana ahli akademik dari institusi pengajian tinggi, untuk meningkatkan keselamatan siber negara.

Beliau turut menyifatkan inisiatif kerajaan itu merupakan pengiktirafan dalam usaha mencegah ancaman jenayah siber dan dalam masa sama memastikan wujudnya prasarana keselamatan siber yang selamat lagi kondusif di Malaysia.

“Berdasarkan statistik insiden keselamatan siber Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia, sehingga Oktober 2020 sebanyak 9,042 laporan dibuat berbanding 8,770 pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 3.1 peratus, dengan insiden tertinggi yang dilaporkan adalah penipuan, pencerobohan dan kod berbahaya.

“Dengan tahap risiko semasa, jenis ancaman serta bilangan serangan siber yang berlaku, pendekatan keselamatan siber perlu dilaksanakan secara holistik melibatkan individu, proses, dan teknologi secara efektif, yang berupaya mengurangkan risiko serangan siber serta melindungi sistem rangkaian dan teknologi itu sendiri,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan memperuntukan sebanyak RM500 juta bagi melaksanakan JENDELA untuk 430 buah sekolah seluruh negara dan RM7.4 bilion daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar. – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -