Tidak tolak moratorium, laksana bersasar

Ketua Penerangan DPPM, Khairul Nadzir Helmi Azhar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menolak pelaksanaan moratorium secara automatik kepada golongan B40 dan M40 yang terjejas.

Sebaliknya, menurut Ketua Penerangan DPPM, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata pihaknya hanya mencadangkan supaya ianya dilaksanakan secara bersasar yang lebih berfokus dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

- Advertisement -

“Sebab kita percaya, bukan semua rakyat memilih untuk lanjutkan moratorium. Tanpa menafikan ramai yang terkesan pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Namun, ada sebahagian daripada kita yang tidak mahu melanjutkan lagi tempoh hutang mereka yang sedia ada. Ada pendapatan berjalan walau sikit, mereka nak bayar juga sekadar termampu.

“Pada masa yang sama, ada golongan yang terjejas pendapatan, yang bergaji hari, yang tiada pendapatan langsung, dan tiada pilihan selain melanjutkan morotarium,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Khairul Nadzir berkata prosesnya haruslah dipermudahkan dan kurangkan birokrasi dalam permohonan ini.

“Janganlah disusahkan rakyat yang mohon untuk lanjutkan atau kecualikan moratorium,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan lanjutan moratorium dan keputusan untuk mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 1 KWSP juga sebenarnya bukanlah sebahagian daripada kandungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021, atau Belanjawan 2021 seperti yang sedang dibahas di Dewan Rakyat sekarang.

“Perkara ini tidak melibatkan sebarang peruntukan dari kerajaan. Malah, keputusan pelaksanaannya juga boleh sahaja dibuat oleh Jemaah Menteri tanpa perlu dibahas dan diluluskan di Parlimen,” ujar beliau.

Justeru, katanya hairan mengapa ada pihak yang mengugut untuk menarik sokongan kepada Belanjawan 2021.

“Jika cadangan ini bukanlah sebahagian darinya? Atau adakah ianya sekadar syarat Puteri Gunung Ledang seperti yang disebut (Ahli Parlimen) Pasir Mas dalam perbahasan?

“Masa ini adalah untuk kita bersama menjaga dan memastikan kebajikan rakyat terbela, di saat negara sedang diuji dengan penularan pandemik Covid-19.

“Ini bukan masanya untuk kita beradu siapa lebih pakar ekonomi, atau lebih bijak menguruskan kewangan. Ini masa kita bersatu hati untuk rakyat.

“Mari kita buktikan kita ikhlas untuk membina negara, bukan berpolitik sepanjang masa,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -