‘Takut mati’: Dewan kecoh lagi, MP Kepong digantung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kecoh lagi, itu yang boleh digambarkan mengenai persidangan Dewan Rakyat hari ini apabila isu kenyataan kontroversi terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menghangatkan Dewan semalam, dibangkitkan semula hari ini.

Drama yang menyaksikan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen pembangkang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun itu turut  membawa kepada arahan keluar Dewan dan digantung lima hari daripada menghadiri persidangan kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong).

- Advertisement -

Episod bermula sejurus sesi soal jawab apabila Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) meminta Azhar membuat keputusan supaya Menteri Kesihatan memohon Datuk Tiong King Sing (GPS-Bintulu) menarik balik kenyataan itu dan menuntut permohonan maaf daripada beliau. 

Perkara itu turut disokong Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang merujuk Peraturan Mesyuarat 99 agar keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azalina Othman Said semalam boleh dikaji semula dan meminta Ahli Parlimen Bintulu menarik balik kenyataan yang disifatkan menghina Dr Noor Hisham.

“Adalah sesuatu yang amat menjijikkan sekali untuk seorang pemimpin frontliner yang mempertahankan kesihatan dan sempadan kita dari wabak COVID-19 dengan menyatakan mengapa tidak buat lawatan atau buat rondaan bila sebenarnya lawatan dan rondaan dibuat dan menghinanya, menyatakan takut matikah.
 
“Itu sesuatu tidak munasabah dan Ketua Pengarah Tan Sri Dr Noor Hisham pun cakap tak takut mati, ini terpulang kepada Tuhan, Tuhan yang tentukan segalanya, ini sesuatu yang amat menghina dan seharusnya dikecam oleh Dewan yang mulia ini,” katanya. 

Semalam, Tiong ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 mengeluarkan kenyataan ‘DG takut mati’ selain mempersoal mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung  di televisyen. 

Azalina yang mempengerusikan sidang Dewan ketika itu membuat keputusan bahawa sebarang permohonan untuk meminta maaf atau menarik balik kenyataan boleh dibuat ketika seseorang Ahli Parlimen itu berbahas, dan beliau menyerahkan kepada Tiong sama ada mahu menerangkan atau menarik semula kenyataan itu.

Mengakui perkataan digunakan Tiong itu agak kasar, Azhar bagaimanapun menegaskan bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat, ia adalah muktamad seperti dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 43 dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk meneliti semula keputusan itu.

Klimaks drama sidang Dewan itu berlaku apabila Lim Lip Eng secara tiba-tiba menyatakan bahawa ia adalah keputusan yang bodoh, mengakibatkan Azhar mempersoalkan bagaimana wakil rakyat Kepong itu boleh mengeluarkan ayat tersebut.
 
Lip Eng dilihat berterusan membuat provokasi terhadap Azhar apabila menyatakan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat bersekongkol dengan Tiong, dan enggan menarik balik kenyataan tersebut walaupun diminta berbuat demikian oleh seorang daripada Ahli Parlimen.

Pertikaman lidah antara kedua-dua mereka berlanjutan seketika sehingga menyebabkan Azhar, yang pada mulanya mengeluarkan arahan gantung daripada menghadiri dewan kepada Lip Eng selama dua hari, menukar tempoh tersebut kepada lima hari dan mahu memanggil polis untuk mengiringi Lip Eng yang enggan keluar Dewan. 

Arahan Azhar untuk memanggil polis turut menyebabkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang seperti Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) bangkit dan menyatakan bahawa keputusan itu adalah tidak perlu, memandangkan Bentara boleh menguruskannya.

“Ini urusan dewan, jangan panggil orang luar… Kuasa Speaker tapi tidak pernah digunakan jangan kita mula satu precedent (kebiasaan) yang baharu Speaker,” kata wakil rakyat Bukit Mertajam itu.

Lip Eng akhirnya akur dengan arahan itu dan keluar dewan dan Azhar kemudiannya menjelaskan bahawa jika sesuatu keputusan hendak dibahaskan semula, maka satu usul persendirian perlu dibuat terlebih dahulu. – BERNAMA

- Advertisement -