Sidang Bajet DUN Terengganu 2 hari

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sepatutnya dijadual empat hari dipendekkan kepada dua hari sahaja.

Yang Dipertua DUN Terengganu Dato’ Yahaya Ali berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November hingga 6 Disember ini bagi menangani wabak Covid-19.

- Advertisement -

Oleh itu katanya persidangan DUN Terengganu kali ini dipendek kepada selama dua hari sahaja berbanding jadual asal.

“Saya cadangkan kepada kerajaan negeri persidangan DUN diadakan dua hari sahaja bagi meraikan arahan PKPB yang berkait soal keselamatan.

“Jadi sidang DUN Terengganu hanya pada 23 dan 24 November ini. Hari pertama selepas sesi soal jawab kita bagi laluan pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2021),” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Menurutnya juga ucapan Belanjawan Terengganu 2021 akan disampaikan Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau juga berkata, perbahasan akan dihadkan kepada beberapa Adun, manakala jemputan hanya melibatkan ketua-ketua jabatan sahaja.

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha DUN Terengganu Zulkifli Isa. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -