Salah tetap salah – Ustaz Roslan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah,” kata Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH Negeri Pahang, Ustaz Roslan Md Esa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu Adun Ketari, Young Syefura Othman yang dikecam netizen di media sosial kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurut Ustaz Roslan, terdahulu Young Syefura beria mendesak supaya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, meletak jawatan.

Susulan itu, beliau menggesa Young Syefura bertanggungjawab dengan tindakan yang dilakukan dan mengingatkan bahawa rakyat sedang menilai.

“Beliau lantang mengkritik pemimpin lain, sekarang bahkan dia sendiri yang melakukannya.

“Hari ini sepatutnya dia sendiri bertanggungjawab dan letak jawatan. Itu yang terbaik,” tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, Adun ketari itu turut mendapat kecaman yang cukup teruk daripada netizen.

“Orang ramai seakan tidak boleh menerima tindakan yang dilakukannya,” katanya.

Sebelum ini, Adun DAP itu memohon maaf selepas dikatakan melanggar SOP PKPB susulan satu gambarnya di Instagram yang menunjukkan beliau menyambut majlis ulang tahun kelahiran di sebuah pantai Avani Sepang Goldcoast Resort, yang terletak di Sungai Pelek, Selangor tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -