MP PAS pertahankan Dr Noor Hisham

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad kesal kenyataan tidak bertanggungjawab wakil GPS-Bintulu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS menyanggah kenyataan tidak bertanggungjawab Dato’ Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) dan mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim turut menzahirkan, rasa kesal dengan kenyataan Dato’ Seri Tiong King Sing terhadap Dr Noor Hisham.

Beliau menyifatkan, kenyataan Ahli Parlimen Bintulu itu terhadap Dr Noor Hisham, yang tidak turun ke Sabah kerana ‘takut mati’ adalah sangat tidak sesuai.

“Semua kita (rakyat) tahu bahawa, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham, kita telah bertungkus-lumus sejak daripada awal pandemik. Dalam memastikan urusan berkait dengan menangani masalah Covid-19 ditangani sebaiknya.

- Advertisement -

“Pada saya, kenyataan (Dato’ Seri King Siang) itu sangatlah tidak sesuai dan saya melahirkan rasa kesal saya, dengan kenyataan yang dibuat oleh Bintulu.

“Isteri saya, (seorang) Doktor. Dr Nur Diana seorang doktor juga dan ‘frontlines’ (barisan hadapan) juga, dan saya melihat betapa anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berkorban begitu sekali, dalam melaksanakan tugas untuk kepentingan negara demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” ujar Amzad kepada Harakah, selepas Sidang Parlimen, hari ini.

Beliau selaku Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bertemu dengan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba yang turut kecewa dengan kenyataan tidak berasas seumpama itu.

“Saya beri sokongan dan dorongan supaya Dato’ Seri Dr Adham terus mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham) dan beri dorongan supaya tidak lemah semangat dengan kata-kata tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Saya harap, selepas ini usah lagi diulangi perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya seperti itu. Lebih-lebih lagi pandemik Covid-19 ini telah melibatkan pengorbanan banyak pihak yang perlu kita hargai.

“Usah kita pandang perkara ini sebagai ‘gurauan’, yang mungkin Bintulu (Dato’ Seri King Siang) bermaksud lain tetapi, apa yang didengar itu tak cantiklah, tak bagus dan semoga ini tidak berulang lagi di masa akan datang,” tegasnya.

Kenyataan kontroversi di Parlimen itu menjadi kecoh kira-kira 15 minit, apabila RSN Rayer (DAP-Jelutung) bangun mendesak, King Siang menarik balik kenyataan yang dianggap menghina pegawai kerajaan itu.

Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat, Dato’ Seri Azalina Othman Said meminta Rayer duduk tetapi tidak diendahkan sehingga Ahli Parlimen Jelutung itu diarah keluar dewan. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -