Kos satu kilometer bina jalan cecah RM12.5 juta

KUCHING: Kos membina setiap satu kilometer jalan raya berturap di Sarawak boleh mencecah sehingga RM12.5 juta, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri itu, Datuk Julaihi Narawi hari ini.

Beliau berkata bagi jalan berturap atas tanah gambut, anggaran kos pembinaan bagi setiap satu kilomenter adalah antara RM5.7 hingga RM12.5 juta mengikut standard jalan.

“Bagi jalan berturap yang (dibina di kawasan) berbukit-bukau dan pergunungan, anggaran bagi satu kilometer jalan adalah antara RM6.3 juta hingga RM10.7 juta mengikut jenis standard jalan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Advertisement

Bagi jalan berturap atas tanah rata pula, Julaihi berkata anggaran kos pembinaan adalah antara RM4.7 juta hingga RM10.4 juta setiap satu kilometer bergantung kepada jenis standard jalan.

Julaihi menjawab pertanyaan Abdul Yakub Arbi (GPS-Balingian) yang ingin mengetahui kos membina satu kilometer jalan raya di Sarawak, misalnya tanah gambut, kawasan tanah rata dan kawasan berbukit bukau.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil kira keperluan untuk menghubungkan lebih 6,000 penempatan yang berselerak di seluruh negeri itu dalam merancang pembinaan jalan raya, selain potensi untuk membuka kawasan baharu serta keselesaan pengguna. – BERNAMA