Kesepakatan Ahli Dewan Rakyat perlu dibuktikan

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, Belanjawan 2021 telah berjaya dibentangkan oleh YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Kewangan pada 8 November 2020. Tahniah kepada YB Senator di atas kejayaan menyiap dan membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan dan desakan daripada segelintir ahli politik. 

Belanjawan 2021 mencipta begitu banyak sejarah baru untuk negara. Bermula dengan bajet yang paling terbesar dalam sejarah, iaitu sebanyak RM322.5 bilion dikeluarkan bagi berdepan dengan kemerosotan ekonomi negara dan rakyat hasil dari pandemik COVID-19. Dalam masa yang sama, kerajaan berdepan dengan pelbagai tekanan politik yang tidak stabil antara gabungan parti pemerintah dan gabungan pembangkang. Ini memberi sedikit tekanan dalam memastikan Belanjawan 2021 diluluskan dengan jayanya.

Dalam memastikan kestabilan politik berterusan, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan dua kenyataan media untuk menasihati semua Ahli Dewan Rakyat supaya bersama-sama menyokong Belanjawan 2021 bagi memastikan keberlangsungan kerajaan tidak diganggu-gugat khususnya di saat berdepan dengan Pandemik COVID-19 ini. 

- Advertisement -

Belanjawan 2021 yang bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ telah dirangka bermula Julai 2020 dengan mengambil pandangan daripada pelbagai pihak. Menurut Menteri Kewangan, sesi konsultasi telah dilaksanakan merentasi 14 buah negeri, lebih 38 kali sesi dialog melibatkan 40 bidang perniagaan dan perusahaan. Ini termasuk libat urus bersama kepimpinan Kementerian Kerajaan Persekutuan, Kepimpinan Kerajaan Negeri, ‘Captains of Industry’, Ahli Akademik, badan-badan bukan kerajaan, pemimpin parti politik dan yang paling utama pelbagai lapisan rakyat Malaysia daripada belia, wanita, ibu-bapa hingga warga emas. Ini dibuat bagi mendapatkan pandangan yang menyeluruh dan komprehensif daripada semua pemegang taruh. Ini juga merupakan antara sejarah baru negara dalam merangka belanjawan yang terbaik untuk rakyat.

Saya mengikuti perbentangan Belanjawan 2021 dan perbahasan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk daripada Ketua Pembangkang dan Bekas Perdana Menteri yang ketujuh. Pelbagai pandangan yang dikemukakan, termasuk pandangan daripada rakyat yang diluahkan melalui media sosial. Bagi saya, pihak kerajaan bukan sahaja perlu mengambil pandangan daripada perbahasan Ahli Dewan Rakyat, tetapi pandangan dan rintihan rakyat dalam media sosial (bukan cybertrooper) perlu dinilai dan diperhalusi untuk menambahbaik lagi belanjawan yang sedia ada. 

Tidak dinafikan, beberapa kritikan dan pandangan yang dikemukakan ada kebenarannya. Namun perkara yang diingat ialah soal kemampuan pihak kerajaan untuk merealisasi sebarang bentuk cadangan dengan mengambil kira kemampuan negara. Penyelesaian ekonomi rakyat dan juga negara bukan sekadar bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata. Peranan Kerajaan Negeri dan golongan korporat perlu dimobilisasi agar rakyat yang terjejas dengan Pandemik COVID-19 dapat diatasi dengan baik. Termasuk juga komuniti masyarakat setempat yang perlu sentiasa prihatin dengan suasana sekeliling yang ada. 

Sabda Nabi S.A.W:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ

“Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.”

 (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Ini juga antara intipati konsep Negara Berkebajikan yang dilontar oleh Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang. Semua pihak memainkan peranan dalam menyelesaikan permasalahan ekonomi rakyat. Dalam masa yang sama, kerajaan menjadi pemudahcara dalam memastikan agenda pemerkasaan ekonomi rakyat dapat dilaksana dengan sebaik mungkin.

Selaras dengan konsep Negara Berkebajikan juga, semua rakyat Malaysia, NGO-NGO, Komuniti turut diseru untuk saling bantu membantu menjaga kebajikan sesama masyarakat. Mereka yang mempunyai pendapatan yang lebih, boleh membantu mereka yang kesusahan tanpa mengira bangsa dan agama.

Konsep hidup saling bantu membantu ini selaras dengan firmanNya;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(al-Maidah: 2)

Saya juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM1.4 bilion yang diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menjayakan agenda memartabatkan syiar Islam. Antaranya kenaikan elaun guru takmir daripada RM800 kepada RM900 sebulan. Ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menaikkan elaun guru agama dakwah daripada RM400 kepada RM900 selepas tiada kenaikan sejak lebih 10 tahun yang lalu. Ini juga sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan di atas tugas-tugas mereka yang berkorban masa dan tenaga bagi memahamkan Islam kepada masyarakat.

Antara perkara penting dalam memartabatkan syiar Islam ialah meningkatkan kefahaman rakyat kepada agama sehingga mampu melahirkan rakyat yang beragama. Ekonomi akan dipacu dengan baik apabila dikemudi oleh kepimpinan dan masyarakat yang beragama dan tahu nilai dosa dan pahala. Ini juga ditekankan oleh al-Quran menerusi firmanNya:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْاْ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ 

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang melakukan kejahatan dan perkara mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

 (al-Hajj : 41) 

Oleh itu, agenda pelaksanaan dan penguatkuatsaan syariah perlu diperkasakan kepada masyarakat Islam. Antaranya ialah memastikan umat Islam menjaga solatnya walaupun di mana berada. Contohnya mewajibkan semua pasaraya besar sentiasa memaklumkan waktu solat sebagai peringatan kepada pengunjung. Tempat-tempat tumpuan rakyat mesti disediakan ruang solat bagi memberi kemudahan kepada umat Islam untuk melaksanakan tuntutan agama. Ini sebagai salah satu contoh pemerkasaan agenda pelaksanaan syariah kepada masyarakat.

Antara tujuan penguatkuasaan syariah ini bagi meraih berkat daripada Allah S.W.T:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”

 (al-A’raf: 96)

Kita mengharapkan agar berkat daripada Allah S.W.T ini akan memudahkan negara kita untuk meneruskan survival di era ini sebagai sebuah negara yang makmur.

Selepas KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya hentikan polemik politik dan fokus kepada usaha untuk melawan Pandemik COVID-19, semua ahli politik daripada kesemua parti seolah-olah bersetuju dan akur dengan Titah Tuanku. Namun setelah Belanjawan 2020 dibentangkan, dilihat sedikit pergeseran sedang berlaku. Kita menerima kepelbagaian pandangan, namun jangan sebab kepelbagai pandangan ini memangsakan rakyat.

Kritikan dan pandangan memang diperlukan dalam sebuah kerajaan supaya konsep semak dan imbang boleh berlaku. Namun kritikan dan pandangan jangan sampai menjerumuskan negara ke dalam kancah yang lebih parah. Parlimen adalah tempat perbahasan mewakili rakyat, bukannya sebagai sarkas yang menjadi medan bahan lawak jenaka.

Buktikan kesepakatan kita dengan memastikan Belanjawan 2021 disokong sepenuhnya.

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -