JENDELA mampu selesai isu rangkaian internet

- Advertisement -

SAYA bersyukur kerana berpeluang untuk mengangkat isu rangkaian internet di Setiu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Saya telah berpeluang menyerahkan senarai kampung yang belum mendapat rangkaian 4G dalam sesi pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Dewan Rakyat pada 10 November lalu.

Isu ini amat penting untuk diselesaikan kerana jalur lebar di sesetengah kawasan Setiu masih lagi menggunakan rangkaian 2G dan 3G sedangkan pembangunan infrastruktur komunikasi ini merupakan keperluan yang amat penting terutama dalam menghadapi krisis COVID-19.

- Advertisement -

Oleh itu, jawapan menteri melalui jawapan lisan berkenaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberi berita gembira untuk rakyat Setiu. JENDELA merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara. 

Melalui inisiatif JENDELA, bagi Kawasan Parlimen Setiu, sebanyak 1,322 premis akan dinaik taraf capaian kepada gentian optik. Selain itu, 13 menara komunikasi baru bakal dibina serta 57 pemancar komunikasi di menara sedia ada turut dinaik taraf.

Inisiatif ini membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan 4G sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital serta liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi.

Justeru, saya berharap agar inisiatif ini dapat dilaksanakan secepat mungkin agar penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan asas ini terutama dalam mendepani situasi sukar ketika ini sekali gus menyelesaikan masalah rangkaian internet di Setiu setelah sekian lama. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan” 

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -