Harakah lapor polis fitnah Harakatdaily

Harakahdaily membuat laporan polis berhubung Harakatdaily di IPD Dang Wangi, hari ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat oleh wakil portal berita lidah rasmi PAS, Harakahdaily berkenaan kemunculan akaun Facebook dan Twitter atas nama ‘Harakatdaily’ yang menggunakan logo serta nama seakan portal sebenar Harakahdaily.

Menurut wakil Harakahdaily, Shaheedul Tamim Shamsuddin, tindakan pihak akaun yang tidak bertanggungjawab itu juga telah memburuk dan memfitnah pihak kerajaan dan pimpinan PAS dengan memuat naik berita palsu yang boleh menimbulkan ancaman dalam negara.

Malah katanya, tindakan pengendali Harakatdaily itu juga boleh mengelirukan orang ramai kerana ia menggunakan logo sebenar portal Harakahdaily.

Dalam pada itu, Shaheedul turut menafikan bahawa tindakan memfitnah seperti yang dimuat naik oleh Harakatdaily itu bukan dari portal dan pihak Harakahdaily yang sebenar.

“Kami ingin mengesahkan bahawa kedua-dua akaun Facebook dan Twitter (Harakatdaily) tiada kena mengena dengan pihak Harakahdaily yang sebenar,” katanya selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Justeru itu, pihak portal berita Harakahdaily menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera melakukan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Bagaimanapun, pihak Harakahdaily juga akan membuat laporan pada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Facebook dan Twitter Harakatdaily agar tindakan tegas diambil dengan menutup akaun berkenaan.

Semakan Harakahdaily mendapati di Facebook Harakatdaily yang diwujudkan sejak Jun telah menggunakan logo rasmi portal lidah rasmi PAS itu mempunyai seramai 484 pengikut.

Manakala pengikut di Twitter @harakatdailyHD yang turut menggunakan logo Harakahdaily seramai 4,281.

Akaun Twitter @harakatdailyHD diwujudkan sejak Jun 2020, dengan penerangan maklumat tujuan akaun itu diwujudkan sebagai “Portal berita satira untuk rakyat Malaysia. Berita satira politik, Agama, Nasional dan pelbagai rencana ilmu menarik. Kelakar & Inklusif”. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -