Belanjawan 2021 ambil kira semua aspek – Dr Zuhdi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan merupakan sebuah belanjawan atau bajet yang menyeluruh dan tidak mengabaikan mana-mana aspek penting mahupun mana-mana kelas masyarakat, kata Setiausaha Politik Menteri Air dan Alam Sekitar, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Menurut beliau, keistimewaan belanjawan kali ini adalah kerajaan perlu mengambil kira situasi negara yang dilanda Covid-19 yang turut memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Jelasnya, kelembapan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 bukan hanya memberi kesan kepada golongan bawahan, bahkan golongan-golongan pemodal juga turut terkesan.

Ia secara langsung memberi kesan kepada golongan bawahan yang kebanyakan merupakan pekerja di syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan pemodal.

- Advertisement -

Justeru itu, kata Mohd Zuhdi, Belanjawan 2021 telah dirangka dengan begitu teliti melalui pendekatan profesional dan teknorat tanpa melibatkan mana-mana kepentingan politik.

“Konsep bajet mesti seimbang, mengambil jalan tengah, kita tidak boleh terlalu terlalu populis, kita mesti realistik. Di antaranya, mesti fokus tidak hanya kepada mengatasi Covid-19, walaupun ia merupakan prioriti utama.

“Tetapi juga mesti fokus bagaimana kita ingin melangsungkan ekonomi selepas ini, ia perlu kepada keseimbangan,” ujarnya.

Mengulas mengenai ekonomi mampan, kata Mohd Zuhdi, belanjawan kali ini mempunyai elemen-elemen asas untuk memenuhi keperluan masyarakat khususnya melihat kepada situasi hari ini, dalam masa sama memastikan kelangsungan ekonomi berterusan sehingga selepas Covid-19 beransur.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual Bicara Harakah Belanjawan 2021: Antara Ekonomi dan Rakyat di sini, pada Rabu. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -