Batalkan ABPBH, solidariti lawan COVID-19

PIHAK penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) wajar membatalkan program tersebut atas keprihatinan bersama dengan keadaan sedang diharungi negara dan dunia ketika ini berdepan COVID-19. Inilah solidariti terunggul perlu dipamerkan pada saat-saat sukar sedang ditempuhi kini.

Advertisement

Adalah tidak wajar untuk bersuka ria dengan majlis sedemikian, sedangkan seluruh makhluk atas muka bumi ini sedang bertarung dengan risiko ancaman ke atas nyawa. Meneruskan penganjuran majlis seperti ini hanyalah menunjukkan sikap mengambil lewa dan pentingkan diri.

Seharusnya, kebimbangan dan ketakutan yang menyelubungi pada masa kini dihadapi dengan memperbanyakkan amal ibadah dan munajat memohon ampun agar Allah S.W.T Pemilik alam ini segera mengangkat bahaya COVID-19 sedang dihadapi. Kecuali pihak penganjur merasa kebal dari penularannya.

Sebaliknya menjadi keperluan ketika ini, selain ‘Kita Jaga Kita’ adalah pentingnya beramal untuk membantu golongan memerlukan yang terkesan dengan keadaan ini. Di sana adanya orang miskin, orang kelainan upaya (OKU), sakit, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim yang mesti disantuni.

Bahkan tidak sedikit mereka yang disekeliling hidup kita dalam kalangan penjaja, peniaga, golongan petani, penternak dan nelayan serta ramai lagi hilang kerja dan hilang pendapatan. Inilah masa kita mengalirkan keprihatinan dengan sedikit kelebihan yang ada membantu mereka, bukannya berhibur dan bermegah dengan prestij anugerah.

Malah, ketika ini jikalah populariti yang ingin diraih, maka menjadi sebahagian barisan hadapan (frontliners) adalah lebih masyhur dan dihargai. Oleh itu kami berharap, penganjur mempertimbangkan semula supaya ABPBH tidak diteruskan di tengah-tengah kemelut dihadapi ketika ini.

ROSLIN MOHD JIDIN
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong – HARAKAHDAILY 12/11/2020