Banjir besar landa Kubu Gajah, penduduk selamat

LARUT: Hampir 50 keluarga melibatkan 200 penduduk kampung telah kembali ke kediaman masing-masing selepas banjir besar yang melanda kawasan tersebut mula surut di Sungai Ara dan Pantai Besar Ijok di Kubu Gajah, di sini hari ini.

Advertisement

ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya berkata, terdapat juga sebahagian mangsa menetap sementara di rumah keluarga terdekat berikutan rumah yang didiami perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum didiami semula.

“Kedua-dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Sungai Ara dan Sekolah Kebangsaan Pantai Besar dah mula ditutup berikutan kebanyakan penduduk yang terjejas telah kembali ke rumah masing-masing untuk menjalankan proses pembersihan,” jelasnya ketika dihubungi.

Katanya lagi, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan mengedarkan bantuan asas awal kepada keluarga mangsa.

Menurut beliau, bantuan kemanusiaan tersebut meliputi bantuan makanan kepada penduduk kampung selain membantu mereka yang terlibat membersihkan kawasan kediaman.

Dalam pada itu menurutnya, pihak kerajaan negeri melalui Menteri Besar dan Pejabat Daerah Larut, Matang dan Selama akan cuba menilai semula bantuan yang layak diberikan kepada penduduk setempat.

Selain itu ujarnya, pihak berkenaan juga akan mengkaji semula permasalahan itu dari sudut kejuruteraan supaya kejadian seumpama ini dapat dikurangkan dan dielakkan.

Tegas beliau, penduduk kampung terutama kanak-kanak dan warga emas perlu menjaga kesihatan dan keselamatan terutamanya di musim tengkujuh yang melanda dan bersiap sedia untuk berpindah ke PPS sekiranya perlu.

Untuk rekod, banjir kali ini disifatkan sebagai banjir yang paling teruk pernah melanda DUN Kubu Gajah berbanding banjir pada tahun 2017.

Kejadian kali ini meneggelamkan atap kediaman penduduk di sini yang berpunca daripada taburan hujan terlampau lebat dan permasalahan saliran air. – HARAKAHDAILY 12/11/2020