Aliran air di cerun potensi batu jatuh

IPOH: Aliran air di sepanjang muka cerun yang keluar melalui rekahan turut memberi ancaman kepada pusat pelancongan di Tambun.

Lebih membimbangkan lagi enam blok batuan tergantung bersaiz lima hingga 10 meter berisiko jatuh pada bila-bila masa.

Advertisement

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) memaklumkan sebahagian batu kapur di lokasi kejadian turut mengalami kadar luluhawa yang tinggi.

Katanya situasi itu memudahkan batu tersebut jatuh daripada kedudukan asal.

“Menurut JMG bukit batu kapur tersebut mempunyai tebing tegak dan lazimnya mempunyai rekahan dan satah pelapisan.

“Oleh itu bukit batu kapur berpotensi mengalami runtuhan yang merupakan fenomena geologi yang tidak boleh diramal bila ia akan berlaku.

“Ketinggian muka cerun dianggarkan 50 meter dengan lebar mencapai 100 meter, kawasan runtuhan sebahagian kecil daripada keseluruhan bukit batu kapur yang menghadap pusat peranginan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya hari ini.

Pada kejadian tanah runtuh di sebuah pusat peranginan di Tambun semalam mengorbankan dua pengunjung yang menginap di resort tersebut. – HARAKAHDAILY 12/11/2020