ADUN DAP Ketari dipersoal langgar SOP PKPB

- Advertisement -

BENTONG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Bentong telah membuat laporan polis terhadap ADUN DAP Ketari, Young Syefura Othman atau dikenali sebagai Rara di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, di sini malam kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Bentong, Muhammad Naqib Sahimi berkata, laporan polis itu rentetan muat naik di Instagram ADUN itu yang mengadakan perkelahan bersama empat individu lain di Avani Sepang Goldcoast Resort.

Kata Muhammad Naqib, perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa berikutan tindakan mereka itu secara jelas dan nyata telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita tidak tahu kenapa YB Rara sanggup memuat naik gambar beliau di media sosial yang jelas melanggar SOP; tidak memakai pelitup muka, duduk berkepit tanpa penjarakan sosial dan merentas negeri yang sedang dalam tempoh PKPB,” persoal beliau.

Pada 30 Julai lalu, Rara menerusi akaun Twitternya, telah menciap nasihat dan peringatan kepada orang ramai agar mematuhi SOP dan tidak sia-siakan pengorbanan barisan hadapan membendung penularan COVID-19.

“Jangan kita sia-siakan pengorbanan mereka (barisan hadapan) dengan (kita) terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri,” kata Rara dalam hantaran tersebut.

Beliau juga antara individu lantang menghentam Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini didakwa melanggar SOP tidak mematuhi peraturan kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Menteri berkenaan telah didenda dan mengambil tanggungjawab memulangkan gajinya selama beberapa bulan sebagai memohon maaf walaupun ketika itu menjalankan tugasan rasmi berbanding Rara yang berseronok di tepi laut menyambut hari lahir

Menyedari teruk dikecam netizen, Rara telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam hantaran gambar di Instagram beliau bersama dua rakan lelaki dan dua rakan wanita yang berpakaian agak kurang sopan serta menjolok mata.

“Kami berharap tindakan susulan dibuat oleh polis terhadap ADUN Ketari. Minta maaf tidak cukup, atas rasa tanggungjawab kami minta dia letak jawatan kerana kesalahan dia mempermain-mainkan undang-undang,” ujar Naqib lagi.

Di bawah PKPB di Selangor, perjalanan rentas negeri dan daerah adalah dilarang kecuali untuk tujuan kerja dan kecemasan.

Majlis Keselamatan Nasional, juga secara tegas berdasarkan peraturan yang ditetapkan melarang segala aktiviti perkelahan bersama aktiviti pelancongan yang melibatkan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan PKPB.

Turut bersama mengiringi Ketua Pemuda PAS Bentong itu membuat laporan adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Bentong, Zulkifli Mohammad dan Muhd Sahir Abd Rahman. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -