Seni: Pendekatan indah mendekatkan diri kepada Allah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nilai sesuatu seni itu menjadi indah adalah kerana kecantikan aturan dan disiplin yang ada padanya, demikian jelas seorang pensyarah dan aktivis, Iffah Nabillah Abdullah Sany.

Beliau bercakap dalam sebuah webinar anjuran Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan yang bertajuk, ‘Seni: Pendekatan Indah Muhasabah Diri’, baru-baru ini.

“Lihat sahaja bagaimana seni kejadian Allah S.W.T dalam menciptakan alam ini. Siang dan malam dijadikan teratur silir berganti. Planet-planet yang diciptakan pula tersusun rapi pada orbitnya. Seni ini terlihat begitu indah bila segalanya teratur,” terang beliau.

- Advertisement -

Menurutnya, seni ini luas dan tidak tertumpu pada satu sudut sahaja, misal yang pertama, terdapatnya seni melalui pendengaran misalnya seperti muzik dan deklamasi puisi.

Kedua katanya, seni melalui penglihatan seperti seni bina, seni hias dan seni lukis, manakala ketiga, seni melalui pendengaran dan penglihatan iaitu seperti seni drama dan lakonan.

Bentang beliau, keempat pula, seni pembacaan seperti gurindam pantun dan bersyair, sementara kelima, seni melalu pergerakan seperti memanah, berkuda dan lain-lain lagi.

“Al-Quran yang merupakan mukjizat daripada Allah S.W.T itu juga miliki seni yang luar biasa sehingga sasterawan-sasterawan Arab sekalipun tidak mampu menghasilkan karya seindah Al-Quran.

“Lihat sahaja bila mana kita membaca ayat-ayat Al-Quran itu, ada hurufnya yang dibaca secara panjang dan ada hurufnya yang dibaca secara pendek.

“Kemudian disusuli dengan simbol-simbol yang banyak menyelamatkan makna-makna yang Allah ingin sampaikan. Demikian antara seni yang boleh kita amati daripada Al-Quran yang dibaca sehari-harian”, tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa, seni yang diredhai oleh Allah S.W.T itu tidak boleh menyimpang dan melanggar segala yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Kemuka beliau, antara ciri-ciri seni boleh dijadikan satu pendekatan muhasabah buat diri yang pertama adalah seni berunsurkan nasihat dan banyak mengagungkan Allah S.W.T.

Kedua katanya, seni yang boleh mendekatkan diri dengan Allah S.W.T, misalnya seperti zikir di mana bukan sahaja membuatkan hati menjadi tenang, bahkan diberikan pahala dan keberkatan.

Ketiga kupasnya, seni yang membina kekhusyukan dan ketenangan jiwa di mana salah satu contohnya adalah seperti keindahan seni bina masjid yang bukan sahaja membuat manusia merasa kerdil tetapi ia juga dapat dijadikan dakwah buat golongan bukan-Muslim.

Keempat pula ujarnya, seni yang berpaksikan syariat, misalnya seperti seni berpakaian antaranya baju kurung itu juga merupakan satu seni di mana dikurung oleh adat dan dipagar oleh syariat.

Sementara kelima katanya, seni yang mendidik pada kebaikan sama ada secara formal dalam sistem pembelajaran di sesebuah institusi mahupun secara tidak formal di sekeliling kehidupan sehari-harian.

“Walau bagaimanapun, dalam menghadapi arus teknologi hari ini, kita tidak dapat menafikan cabaran-cabaran yang ada untuk mengketengahkan seni yang dibenarkan oleh Islam.

“Sebagai contohnya, seni ini sering dikaitkan sebagai perkara yang lagha iaitu melalaikan. Menjadi cabaran untuk kita tonjolkan bahawasanya seni ini kalau kena caranya ia mampu memberi manfaat.

“Lihat bagaimana saudara Khabib yang terlibat dalam seni mempertahankan diri tetapi beliau tetap masih mampu menjaga solat dan menitik beratkan perihal ibu bapanya.

“Lihat juga bagaimana saudari Eryna yang digembar gemburkan baru-baru ini perihal kemahiran memanah sambil menunggang kuda beliau. Beliau bersukan tetapi beliau masih elok menutup aurat dengan sempurna bahkan mampu membawa nama Malaysia ke peringkat tertinggi.

“Jelas di sini keterlibatan dalam seni ini andai digunakan sebaiknya ada manfaat yang tidak melalaikan,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan seni ini juga ada limitasi agar ia kekal bermanfaat dan berkat, di mana perlu berpada-pada dalam mengaut keuntungan melalui seni kerana tidak mahu segala yang menjadi kehendak pasaran dituruti sehingga melanggar batas syariat.

Demikian itu beliau menyimpulkan bahawa Islam tidak memisahkan seni daripada kehidupan manusia, sebaliknya seni Islam itu juga bukan sekadar indah di hati tetapi mesti mendekatkan manusia pada Allah S.W.T.

“Seni yang baik pasti mampu menatijahkan manfaat yang luas buat ummah dan agama,” hujahnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2020

- Advertisement -