Selebriti sokong perkenal ‘gelang hijau’

KOTA BHARU: Langkah kerajaan Kelantan memperkenalkan ‘gelang hijau’ bagi individu tertentu yang datang dari zon merah ke negeri itu dianggap wajar.

Selebriti Nik Sayyidah Fatiha Yazib atau lebih dikenali sebagai Mek Siti Salam Pantai Timur berkata, langkah itu bagi mengenali individu tertentu dari zon merah.

Advertisement

Katanya, dengan cara berkenaan dapat melindungi rakyat Kelantan daripada mereka yang baru memasuki Kelantan dari tempat yang berpotensi menyebarkan Covid-19.

“Lebih baik jika mereka yang datang dari zon merah diwajibkan kuarantin selama 2 minggu sama ada di hotel atau rumah kampung secara berasingan,” katanya di sini.

Semalam kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri memperkenal gelang hijau pengawasan Covid-19 dipakai individu yang perlu pemantauan dari zon merah.

Nik Sayyidah juga berkata, sekiranya mereka kuarantin di rumah bersama keluarga, ia boleh mendedahkan risiko yang lebih tinggi kepada anggota keluarga yang lain.

“Kerajaan negeri perlu menghebahkan peraturan baru itu kepada orang ramai memandangkan ramai belum menyedari syarat tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2020