Sabah tingkat pengeluaran padi Tambunan tahun depan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah berhasrat meningkatkan pengeluaran padi di Tambunan melalui promosi penanaman berganda, peningkatan sistem pengairan dan pengenalan varieti padi baharu tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

- Advertisement -

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata pada masa ini sebahagian besar pertanian padi sawah di Tambunan masih berorientasikan pertanian subsisten dengan hasil tahunan hanya sekitar 3.6 tan sehektar.

Beliau berkata petani di daerah itu komited untuk meningkatkan hasil padi mereka, namun mereka perlu belajar dan menerima varieti baharu padi yang boleh mengeluarkan hasil yang tinggi.

“Jumlah petani padi sawah yang sudah mengamalkan penanam dua kali setahun tidak mencukupi kerana masalah sistem pengairan yang kurang memuaskan membuatkan tanaman berganda sukar dilakukan.

“Kerajaan telah merancang beberapa projek untuk mengatasi masalah ini dan saya percaya tidak lama lagi industri pertanian Tambunan dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam. 
 
Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan berkata daerah itu juga akan melihat pembangunan padang ragut yang lebih besar.

“Sebilangan besar kawasan padang ragut di Tambunan telah terbiar selama bertahun-tahun dan lebih kurang 25,000 hektar belum diwartakan sebagai kawasan padang ragut,” katanya. 

Beliau berkata Tambunan memiliki potensi yang besar tetapi semua pihak termasuk penduduk harus merealisasikan potensi tersebut untuk membangunkan Tambunan dan seterusnya meningkatkan pendapatan penduduk.

“Tambunan memiliki potensi besar tidak hanya dalam industri pertanian tetapi juga industri pelancongan tempatan. Kami akan meneliti perkara ini dan bekerjasama dengan semua jabatan untuk merealisasikan potensi ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -