IWK perlu tingkatkan kecekapan proses air kumbahan

Gambar sekadar ilustrasi - Foto FB Indah Water Konsortium Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) perlu meningkatkan kecekapan dan keupayaan pemprosesan air kumbahan bagi mengelakkan insiden bekalan air terjejas berulang, kataTimbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh.

Menurutnya, penutupan Loji Rawatan Air (LRA) berkenaan boleh dielakkan rentetan daripada tanda-tanda awal telah dikesan pada 4 November lalu.

Advertisement

“Persoalannya, mengapa IWK tidak mengambil sebarang tindakan dan jika ada kenapa Kerajaan Negeri tidak bertindak awal,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata agar satu mekanisme dapat dijalankan bagi mendidik pekerja dan pengurusan kilang agar patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) pembuangan sisa kilang.

“Walaupun Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meningkatkan nilai denda dan kadar hukuman, namun tahap kesedaran yang tinggi perlu dipupuk dalam diri setiap kakitangan industri perkilangan,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kadar kos yang dikenakan oleh pelupusan sisa pepejal terlalu tinggi menyebabkan pengusaha kilang berkeberatan hendak menggunakan khidmat mereka.

“Ini mengakibatkan pengurusan kilang mengambil jalan mudah dengan membuang sisa kilang ke dalam laluan kumbahan lalu merosakkan sumber air mentah,” ujarnya lagi.

Semalam, Air Selangor memaklumkan penutupan LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Penutupan LRA menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air ditutup pada 6 petang semalam. – HARAKAHDAILY 11/11/2020