PKPB kerana peningkatan kes tinggi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang berikutan berlakunya peningkatan kes Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Dato’Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata berikutan daripada itu terdapat keperluan untuk kerajaan menggunakan pendekatan lebih tegas dan berani sebelum keadaan bertambah buruk.
 
“Keputusan kerajaan ini juga dibuat susulan daripada laporan kes pada 6 November 2020 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana Malaysia telah mencatatkan jumlah tertinggi kes Covid-19 harian iaitu sebanyak 1,755 kes.

- Advertisement -

“Berdasarkan situasai ini, KKM segera melaksanakan penilaian risiko dan mendapati bahawa terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri–negeri tersebut.
 
“Atas sebab ini, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dalam tempoh empat minggu (28 hari) dan PKP Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti yang dikenalpasti mempunyai kadar penularan yang tinggi dan bersasar bagi mengekang penularan wabak ini,” katanya seperti dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong Shu Qi [PH-Kluang] dalam sesi pertanyaan Menteri meminta penjelasan berkaitan rasional pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di tujuh buah negeri yang bermula pada 9 November lalu.

Susulan itu, katanya prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutamanya bagi aktiviti sosial, termasuk di kawasan-kawasan terkawal seperti penjara, lokap atau Pusat Tahanan Sementara.

Tambah Mohd Redzuan, PKPB yang dilaksanakan merupakan satu langkah untuk meneruskan kuatkuasa Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] yang memayungi SOP yang telah dikeluarkan.

“Dengan penerusan penggunaan Akta 342, penguatkuasaan ke atas pematuhan SOP dapat dilaksanakan oleh agensi-agensi yang telah diberi kuasa di bawah Akta ini.

“Ia untuk memastikan pematuhan ke atas SOP selain mendidik masyarakat untuk membudayakan norma baharu kehidupan,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -