Golongan Asnaf terus dapat perhatian dan bantuan

- Advertisement -

TAWAU: Golongan asnaf di daerah ini terus mendapat perhatian daripada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan kerjasama Anjung Pendidikan Asnaf Tawau (AnPA) turut menjalankan program ‘Sentuhan Kasih Asnaf’ bagi memberikan bantuan kepada keluarga yang terjejas sepanjang PKP.

- Advertisement -

Ketua Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS Tawau, Ustaz Abdul Manan Ahmad Hafid berkata, objektif program ini dilaksanakan adalah untuk meringankan beban asnaf yang hilang punca pendapatan.

“Bantuan segera sejak penularan wabak Covid-19 itu memberi tumpuan kepada sumbangan berbentuk keperluan bayi dan kanak-kanak seperti susu tepung dan lampin pakai buang berjumlah RM100 setiap keluarga.

“Kita menyasarkan sebanyak 670 keluarga akan menerima bantuan tersebut yang digerakkan dalam dua fasa bermula 12 Oktober hingga 18 November depan meliputi Bandar Tawau hingga Balung serta kawasan Kalabakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan dalam program ini merupakan bantuan tambahan kerana Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS juga sudah menjalankan agihan Bantuan Khas Covid-19 sejak Oktober lalu.

“MUIS telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta untuk pelbagai bantuan yang telah disenaraikan di seluruh Sabah susulan penularan wabak Covid-19.

“Antaranya, bantuan dana perolehan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, bantuan khas untuk waris pesakit Covid-19, sumbangan dana untuk bantuan makanan asnaf dan bantuan penerima bulanan (Fakir).

“Selain itu, turut disalurkan kepada pihak masjid bagi menyediakan keperluan asas asnaf dan bantuan khas kepada petugas mesra ibadah (JHEAINS/PERKIPS),” katanya

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan AnPA berharap semoga bantuan tambahan tersebut dapat memberi manfaat kepada golongan asnaf terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil.

“Sebagai salah satu badan yang diberi amanah menjaga kebajikan golongan asnaf, sudah semestinya pihaknya sentiasa turun padang melihat sendiri kepayahan rakyat marhaen.

“Kami juga sangat berbesar hati dengan penglibatan jawatankuasa AnPA yang komited dalam kerja-kerja kebajikan membantu masyarakat yang susah terutamanya sepanjang penularan wabak,” katanya lagi.

Terdahulu seramai 27 sukarelawan terlibat mengagihkan bantuan tersebut yang terdiri daripada pegawai-pegawai Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS Tawau, penyelia Persatuan AnPA Nur Hidayat Darman serta tenaga pengajar AnPA. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -